Pengendali Liga Belgium, Jupiler Pro League berkemungkinan memutuskan untuk menghentikan baki saingan liga domestik bagi musim 2019-2020 susulan pandemi, Covid-19 yang masih belum kelihatan titik penghujungnya.
Dengan baki satu sahaja lagi perlawanan yang perlu ditamatkan, pengurusan tertinggi liga Belgium berpendapat dengan situasi tidak menentu susulan Covid-19 dan memgambil kira pandangan daripada pakar perubatan negara itu, Dr Van Ranst, saingan liga mungkin tidak dapat disambung sebelum 30 Jun.
Laporan media tempatan juga mengatakan, jika liga disambung tanpa kehadiran penyokong ia akan menimbulkan persoalan tentang keutamaan untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan semua yang terlibat.
Badan induk bolasepak Eropah, UEFA juga telah memberi saranan liga berkemungkinan boleh disambung pada Julai atau Ogos depan, namun keputusan muktamad dijangka diumumkan pada pertengahan Mei.
Keputusan muktamad berhubung status ini akan diketahui selepas mesyuarat agung pada 15 April namun secara lisan, kesemua ahli lembaga pengarah bersetuju untuk tidak meneruskan liga bagi musim ini.
Jumlah kerugian yang bakal ditanggung oleh penganjur Liga Belgium masih belum dapat dipastikan. Nilai perjanjian bagi penyiaran liga itu sekitar 80 juta Euro semusim namun pada Februari, mereka tekah menandatangani perjanjian baru dengan syarikat penyiaran Eleven Sports dengan nilai 100 juta Euro semusim.
Belgium kini berada di tangga ke 11 dunia, mencatat 16770 kes positif Covid 19 dengan lebih seribu kematian dicatatkan setakat ini
Jika liga sah dihentikan, Club Brugge bakal dinobat selaku juara liga bagi musim 2019-2020 dengan 70 mata berjaya diraih selepas 29 perlawanan.
Pasukan kendalian Philippe Clement ini juga boleh tersenyum kerana bakal layak secara automatik ke saingan Liga Juara Juara musim depan selepas gagal mara ke pusingan kalah mati, menduduki tangga ketiga kumpulan A.
Club Brugge berkelebihan 15 mata berbanding pencabar ditangga kedua, AA Gent. Dalam pada mesyuarat akan turut membincangkan status bagi perlawanan piala liga juga antara yang akan dibincangkan.