TIRAI Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) 2021 disingkap buat pertama kali dengan kelab DBKL HT meraikan kemenangan besar dalam aksi sulung yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim (UPSI) hari ini.
Kedua-dua pasukan Lelaki dan Wanita DBKL HT melakar kemenangan besar pada hari pertama saingan dengan skuad lelaki menundukkan ATM JLJ manakala skuad wanita DBKL membenam CS Mustang 9-0.
Selepas tertangguh beberapa kali ekoran pandemic Covid-19, MIHL 2021 akhirnya berlangsung secara karnival mengikut format liga satu kumpulan
dengan menampilkan lapan pasukan lelaki dan enam pasukan wanita.
Saingan Lelaki menyaksikan DBKL HT mempamerkan penguasaan untuk mengutip tiga mata penuh dan menghuni tangga teratas liga dengan mencatat kemenangan bergaya 9-2 ke atas ATM JLJD.
QNet Phoenix juga mencatat kemenangan selesas menewaskan Perlis Mighty Lion 5-2 untuk menghuni kedudukan kedua teratas diikuti pasukan Silversticks yang meraih kemenangan tipis 3-2 ke atas KPT-MASUM.
Begitu juga, skuad ATM-The Gladiators mencatat kemenangan mengejut mengetepikan Terengganu Hockey Team (THT) 3-2 untuk berkongsi kedudukan teratas.
Esok (12 Disember) menyaksikan perlawanan antara ATM Gladiators-ATM JLJD, DBKL HT melawqn QNet Phoenix, Perlis Mighty Lions bertemu Silversticks dan KPT-MASUM menentang THT.
Dalam saingan WANITA, DBKL HT meraikan kemenangan besar 9-0 ke atas CS Mustang selain MOHC juga bermula garang dengan kemenangan besar 5-0 mengetasi BNHC KL.
Mutiara Impian-MSSPP-PSHA membuka saingan pertama dengan menumpaskan Wipers 2-0 untuk berkongsi kedudukan teratas di belakang DBKL HT dan MOHC.