water.break

Oleh Muhammad Aiman

Saingan bolasepak Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang ditangguhkan selama dua minggu berturut-turut sebelum ini akibat fenomena cuaca panas dan gelombang haba, akan kembali berlangsung seperti biasa pada Sabtu, 9 April ini.

Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan Liga KPM 2016 dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa perlawanan pada minggu ini akan diteruskan dengan melaksanakan beberapa perubahan dalam Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP) sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan pelajar terdedah kepada risiko strok haba ataupun dehidrasi.

“Pihak jawatankuasa telah menerima pandangan dari Pejabat Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan akan membuat perubahan dalam OTP semasa mengelolakan perlawanan Liga KPM 2016 membabitkan Piala Menteri Pendidikan Malaysia (B-14) dan Piala Remaja KPM-FAM (B-17).

“Antara perubahan OTP adalah tiada upacara perarakan masuk bendera FIFA Fair-Play sebelum perlawanan dimulakan dan kita juga akan melaksanakan water breaks sebanyak dua kali dalam perlawanan iaitu pada minit ke-15 dan 45 bagi kategori B-14 manakala minit ke-17 dan 52 bagi kategori B-17 dengan jangka masa setiap water breaks adalah tiga minit,” menurut kenyataan itu.

Menerusi pelaksanaan water breaks ini, para pemain dibenarkan untuk mengambil air minuman tambahan ketika perlawanan dihentikan dan ironinya, pelaksanaan water breaks  dalam bolasepak bukanlah sesuatu yang baru.

Ia mula dipraktikkan secara global selepas diperkenalkan ketika Piala Dunia 2014 sewaktu berlangsungnya perlawanan antara Belanda dan Mexico pada suhu mencecah 34 darjah celcius dan pendekatan itu dianggap sebagai satu kejayaan untuk mengatasi masalah dehidrasi.

Dalam pada itu, pihak jawatankuasa turut memaklumkan mengenai perubahan waktu perlawanan di mana aksi membabitkan kategori B-14 akan berlangsung lewat sejam dari jadual asal iaitu pada jam 4 petang manakala B-17 pula pada jam 5.30 petang – lewat 45 minit dari jadual asal.    

Untuk rekod, SMK Seri Titiwangsa dari Kuala Lumpur merangkul piala pertama yang dipertandingkan musim ini iaitu Piala Perisai Komuniti (Sumbangsih) setelah menewaskan SMK Tunku Anum dari Kedah 1-0 menerusi jaringan tunggal Muhamad Nor Farish Hidayat pada 1 Mac lalu.

Bagi saingan Liga Super B-17, carta liga sedang diterajui SSM Tunku Mahkota Ismail dengan enam mata namun pasukan dari Johor itu tidak akan turun beraksi minggu ini sekaligus membuka ruang buat SMK Seberang Temerloh untuk merapatkan jurang sekiranya berjaya menewaskan sebuah lagi pasukan pilihan, SMK Bukit Nenas.

Dalam saingan Liga Perdana B-17 pula, MSS Putrajaya yang unggul dengan enam mata berpotensi melebarkan kelebihan seandainya berjaya menewaskan SMK Seri Kota dari Melaka.

Berikut jadual penuh perlawanan yang akan berlangsung minggu ini :

 

Liga Super Piala Remaja KPM – FAM (B-17)

SMK Seksyen 11 (Selangor) lwn SMK Putera (Kelantan)

SMK Seberang Temerloh (Pahang) lwn SMK Bukit Nenas (Terengganu)    

 

Liga Perdana Piala Remaja KPM – FAM (B-17)

SMK Mutiara Impian (Pulau Pinang) lwn SMK Tunku Anum T.A.R (Kedah)

SMK Seri Kota (Melaka) lwn MSS Putrajaya

SMK Tun Hussein Onn (Johor) lwn SSM Pahang

 

Liga Super Piala Menteri Pendidikan (B-14)

SMK Za’ba (Negeri Sembilan) lwn SSM Bukit Jalil

SMK Seksyen 11 (Selangor) lwn SMK Putera (Kelantan)

SMK Seberang Temerloh (Pahang) lwn SMK Bukit Nenas (Terengganu)   

 

Liga Perdana Piala Menteri Pendidikan (B-14)

SMK Mutiara Impian (Pulau Pinang) lwn SMK Tunku Anum T.A.R (Kedah)

SMK Seri Kota (Melaka) lwn MSS Putrajaya

SMK Tun Hussein Onn (Johor) lwn SSM Pahang

- Advertisement -