Beberapa pengendali pasukan tidak menganggap jadual perlawanan Liga Malaysia yang berlangsung pada bulan Ramadan sebagai satu isu yang harus diperbesarkan dan meminta semua pihak bersikap positif.
Sebaliknya, mereka semua berpuas hati susunan jadual perlawanan yang ditetapkan Malaysian Football League (MFL) yang disifatkan cukup adil kepada pasukan walaupun dijangka aksi lebih padat berbanding beberapa musim sebelum ini.
Antaranya ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, yang mengakui beliau tidak berdepan masalah selepas melihat secara keseluruhan jadual Liga Malaysia kerana memahami kekangan beberapa perkara seperti kepentingan pasukan kebangsaan dan pelaksanaan Economic Control Programme (ECP) yang menjadi faktor liga bermula pada 28 Februari ini.
“ Memang saya tidak nafikan Liga Malaysia pada 2020 pasti padat termasuk perlawanan di bulan Ramadan tetapi selaku jurulatih profesional begitu juga dengan pemain-pemain saya, kita kena bersikap terbuka serta bersedia mengharungi setiap perlawanan.
“Saya faham skuad kebangsaan akan mengharungi saingan Piala AFF pada November nanti selain kelayakan Piala Dunia, jadi saya tahu pihak MFL telah sedaya upaya cuba yang terbaik bagi semua pasukan.
“Mungkin situasi ini akan membuatkan setiap jurulatih termasuk saya kena sentiasa lakukan penggiliran pemain jika perlu namun bagi saya perkara itu bukan satu masalah besar, ” katanya.
MFL melalui satu kenyataan media pada Jumaat telah mengeluarkan jadual Liga Malaysia membabitkan Liga Super dan Liga Premier yang secara rasminya akan bermula 28 Februari depan dan berakhir bulan Julai.
Dalam pada itu, ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin, gembira dengan jadual Liga Malalaysia yang dikeluarkan sedikit awal berbanding tahun-tahun sebelumnya serta memudahkan perancangannya bersama pasukan.
Malah mengenai pertambahan aksi bulan Ramadan, Sulaiman menganggap jika pemain-pemain dapat mengikuti langkah penjagaan kecergasan yang betul termasuk soal pemakanan, perkara itu tidak menjadi satu masalah.
“Jadual kali ini lebih efisien malah paling awal dikeluarkan berbanding sebelum-sebelum ini biarpun perlawanan Liga Malaysia hanya akan berlangsung dua bulan lagi yang jadikan kami lebih bersedia.
“Jika ingin maju, kita tidak boleh terlalu bersikap hendak mengkritik sahaja dan segalanya serba tidak kena malah jika hendak buat perbandingan, jadual liga di luar negara sebenarnya lagi padat berbanding dengan kita.
“Mengenai perlawanan di bulan Ramadan, UKM FC selalu dapat mengutip banyak mata pada waktu ini jika rekod dua musim lalu dijadikan ukuran kerana pemain-pemain saya sentiasa disiplin mengikuti penjadualan nutrisi ditetapkan, ” katanya.
Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, juga sependapat dengan Mehmet dan Sulaiman selain menganggap jadual Liga Malaysia kali ini sedikit mencabar tetapi beliau optimis skuad Tok Gajah boleh mengharunginya sehingga penghujung musim.
“Enam atau tujuh perlawanan yang berlangsung pada bulan puasa itu nanti memang saya anggap satu cabaran yang sukar juga namun pemain-pemain kenalah kerja keras menjaga kecergasan.
“Prestasi pemain selalunya tidak menjadi isu cuma saya kena berhati-hati dalam soal kecederaan pemain utama serta memberikan peluang kepada pemain-pemain simpanan lebih kerap diturunkan pada musim depan,” katanya.