UiTM Lions masih berduka di atas kehilangan pemain import Fiji baharu mereka, Timoci Ramo Raliwalala yang telah meninggal dunia disebabkan oleh jangkitan virus pada 7 Februari lalu. Timoci Ramo Raliwalala yang tidak sempat membuat penampilan sulung bersama pasukan dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Shah Alam. Namun, kemenangan sulung dalam saingan kumpulan B Premier Liga Ragbi Malaysia 2017 ini menentang Kelab Sukan DBKL sedikit sebanyak membantu menaikkan semangat juang para pemain UiTM Lions.
Padang A Universiti Putra Malaysia Serdang menjadi pentas perlawanan sengit dengan misi wajib menang bagi setiap pasukan ini setelah masing-masing telah tewas kepada lawan dalam saingan minggu pertama. Kelab Sukan DBKL yang tewas tipis kepada pasukan SSTMI Tsunami sebelum ini sedikit sebanyak memberi kegusaran kepada UiTM Lions untuk meraih kemenangan. UiTM Lions turun tanpa ditemani oleh jurulatih pasukan; Zamri bin Abdul Kahar yang berada di Fiji untuk urusan pengebumian pemain import mereka sedikit sebanyak menjadi cabaran. Namun, bertunjangkan hanya seorang pemain import Fiji baharu; Peceli Davobalavu bagi pasukan UiTM Lions dalam perlawanan ini ternyata mampu memberikan reaksi sebaliknya.
Cubaan jatuhan try pertama oleh pemain tengah UiTM Lions Muhammad Hafiz bin Zainal Abidin ternyata memberi laluan mudah kepada pemain flyhalf; Mohamad Sofian bin Mohd Kamil untuk terus mengutip mata hasil tendangan conversion sekaligus memastikan 7 mata pertama dalam genggaman. Manakala bagi pasukan Kelab Sukan DBKL mata pertama berjaya dikutip melalui penalti oleh pemain import Fiji mereka iaitu Lekima Nasenra yang beraksi sebagai pemain fullback.
Pada aksi babak kedua permainan, kedua-dua pasukan ternyata lebih padu memberi saingan hingga menyaksikan beberapa pemain mengalami kecederaan sehingga diusung keluar padang oleh pasukan perubatan. Tiga kad kuning telah dilayangkan sepanjang permainan kepada Kelab Sukan DBKL sekaligus menambah duka apabila ketiga-tiga pemain pemain import Fiji ini berkongsi tempat dalam kawasan sin bin. Ini membolehkan pasukan UiTM Lions untuk terus bangkit memastikan kelebihan setiap minit “tahanan sin bin” tidak disia-siakan begitu sahaja.
Kelab Sukan DBKL yang kelihatan mula goyah memaksa jurulatih pasukan; Yusli bin Ramli untuk melakukan beberapa pertukaran pemain namun masih tidak dapat mengawal permainan. Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh pemain Kelab Sukan DBKL mula menghakis momentum semangat juang para pemain. UiTM Lions yang sentiasa merobek kubu lawan sehinggakan beberapa kali menghampiri garisan try namun masih gagal mencipta peluang. Akhirnya jatuhan try terakhir oleh Muhammad Hanafi bin Zaini selaku pemain fullback UiTM Lions dan sekali lagi conversion mudah oleh Mohamad Sofian bin Mohd Kamil telah menamatkan permainan dengan kutipan mata 40 berbalas 25.
UiTM Lions memperolehi kemenangan sulung ini dengan catatan kutipan mata lengkap melalui 5 try dan 5 tendangan conversion manakala Kelab Sukan DBKL hanya berjaya mendapat 4 try, 1 tendangan conversion dan 1 penalti.
“Perlawanan hari ini adalah adalah minggu yang sukar bagi pasukan dengan berita kehilangan pemain Fiji kami disamping ketiadaan jurulatih di sisi kami. Namun kemenangan sulung ini ianya amat bermakna buat pasukan untuk kembali meyakinkan setiap pemain dalam saingan liga ini. Kelab Sukan DBKL adalah sebuat pasukan ternama dan kami tidak nafikan menerima tentangan sengit. Kami hanya dibarisi oleh sebahagian besar adalah para pelajar UiTM yang masih menimba pengalaman di atas padang ragbi ini.”, ujar kapten pasukan UiTM Lions; Shah Izzat bin Shah Rudin sejurus selepas tamat permainan.