Lima lagi syarikat tempatan hari ini tampil memberi suntikan penajaan untuk edisi ke-23 Le Tour de Langkawi 2018, beberapa hari sebelum saingan perlumbaan jelajah berbasikal terunggul Asia itu membuka tirai saingannya, 18 hingga 25 Mac ini.
Lima syarikat yang menyatakan komitmen penajaan dalam satu majlis ringkas tetapi bermakna di sini adalah NUR Power Groups, Kerajaan Negeri Terengganu, Spritzer, Thule South East Asia Sdn Bhd dan Givi Asia Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2018, M Kumaresan menyifatkan penajaan itu sekaligus membantu memeriahkan dan melancarkan pengurusan perjalanan perlumbaan yang akan bermula di Kangar, Ahad ini.
Ia juga membuktikan masih banyak syarikat tempatan mengiktiraf perlumbaan LTdL sebagai pemangkin untuk mempromosi produk keluaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
“Hakikatnya memang ramai bersetuju bahawa perlumbaan jelajah berbasikal adalah sukan yang semakin berkembang dan diminati dan sebagai penganjur, pihak kami akan cuba untuk mewujudkan situasi menang-menang kepada setiap rakan dan syarikat yang turut sama memberi sumbangan penajaan.
“Kami berharap apabila perlumbaan ini disiarkan oleh media cetak, atas talian dan elektronik dalam dan luar negara, nama rakan-rakan penaja ini dan produk mereka akan lebih dikenali,” katanya di majlis itu.
NUR Power yang diwakili Pengarahnya, Tengku Zahaimi Tuan Hashim memberi sumbangan penajaan berjumlah RM300,000.
NUR Power adalah syarikat pembekal tenaga bebas pertama di negara ini yang diberi kebenaran pada 1996 untuk membekalkan 220MW tenaga elektrik di kawasan perindustrian Kulim Hi-Tec Industrial Park (KTHP) seluas 115 ekar di Kedah.
Turut sama memberi sumbangan tunai adalah Kerajaan Negeri Terengganu, berjumlah RM200,000.
Sementara itu, Spritzer, yang diwakili Eksekutif Acara dan Promosinya, Wayne Tan Khai Giap tampil selaku minuman air mineral rasmi, dengan komitmen penajaan sebanyak 3,000 karton.
Penganjur LTdL 2018 turut menerima tajaan 50 unit rak bumbung daripada Thule South East yang diwakili Pengarah Urusannya, Don Wang dan PengurusPemasaran,Wong Eu Gene.
Bagi melindungi keselamatan kru bermotosikal di sepanjang laluan LTdL 2018, Givi Asia turut menaja 200 unit topi keledar yang akan digunakan oleh pasukan polis, marsyal perlumbaan dan petugas media.
Pengarah Urusannya, On Hai Swe berkata, pihaknya sangat berbesar hati dapat melibatkan diri buat kali pertama dengan projek perlumbaan milik negara itu.
“Perlumbaan ini turut diberi liputan meluas dan dapat diikuti di Eropah, termasuk Itali yang menjadi lokasi ibu pejabat syarikat kami. Ia juga sejajar dengan falsafah kami yang mengutamakan keselamatan dan kami menyediakan topi keledar berkualiti yang cukup selesa untuk digunakan oleh petugas polis dan marsyal,” kata Hai Swe.
Jelajah lapan hari LTdL 2018 yang berstatus 2.HC akan bermula dengan majlis pengenalan pasukan di Pulau Langkawi pada 16 Mac ini, sebelum peringkat pertama bermula di Kangar pada 18 Mac dan berakhir di Kuala Lumpur pada 25 Mac.
Edisi ke-23 LTdL 2018 dianjurkan oleh Ciclista Sports dan mendapat sokongan penuh kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Belia dan Sukan.