Oleh Muhammad Aiman
Pemain beregu campuran, Goh Liu Ying dan perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain Zainuddin kedua-duanya sah menarik diri dari Kejohanan Malaysia Masters di Sibu yang akan bermula Selasa depan akibat masalah kecederaan.
Liu Ying yang merupakan pilihan utama kejohanan bersama-sama pasangannya Chan Peng Soon tersisih setelah mengalami kecederaan lutut sejak dua minggu lalu manakala Iskandar pula mengalami kecederaan belakang (pinggang) ketika sesi latihan beberapa hari lalu.
Liu Ying dijangka perlu berehat selama lebih kurang sebulan di mana dalam tempoh itu dia perlu mengambil suntikan stem-cell sebanyak tiga kali bagi tujuan pemulihan.
Pemain kelahiran Melaka itu dijangka boleh kembali beraksi bulan depan di Terbuka Jerman yang akan berlangsung dari 28 Februari – 5 Mac.
Ketiadaan Peng Soon-Liu Ying dalam saingan bermakna sandaran Malaysia dalam acara beregu campuran akan jatuh ke bahu pasangan meningkat naik Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.
Iskandar yang melakar kejutan dengan muncul naib juara edisi tahun lalu di Pulau Pinang pula dinasihatkan doktor agar fokus terhadap proses pemulihan dan berehat sekurang-kurangnya selama dua minggu.
Pemain di ranking ke-23 dunia itu berharap kecederaannya akan segera pulih bagi membolehkannya fokus pada persiapan beraksi di Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Vietnam bulan depan.
Dengan pemain berusia 25 tahun itu menarik diri, cabaran Malaysia bagi acara perseorangan lelaki akan dipikul Lee Zhi Jia, Lim Chi Wing, Chong Yee Han, Soo Teck Zhi, Cheam June Wei, Tan Chung Seang, Zulfadli Zulkifli, Zulhelmi Zulkifli, Goh Giap Chin dan Chong Wei Feng.
Sementara itu, Tee Jing Yi juga tidak akan beraksi di kejohanan berstatus Grand Prix itu setelah pemain perseorangan wanita itu membuat keputusan bertukar kepada acara beregu.
Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen berkata, “Barisan kejurulatihan akan membuat penilaian di dalam menentukan siapa gandingan sesuai untuk Jing Yi. Kami sudah mempunyai perancangan untuknya, dia sendiri yang meminta mahu bertukar acara dan akan diberi tempoh percubaan selama enam bulan untuk membuktikan kemampuan.
Walaupun pernah membuat penampilan dua kali di pentas olimpik iaitu di London 2012 dan Rio De Janeiro 2016, prestasi Jing Yi pada hakikatnya tidak banyak meningkat dan ia dikhabarkan menjadi punca pemain itu memutuskan beralih angin.
Untuk rekod, Jing Yi bukan pemain pertama untuk bertukar dari acara perseorangan ke beregu – sebelum ini Tan Kian Meng, Goh Soon Huat dan Lim Chiew Sien turut membuat keputusan sama dan menunjukkan hasil positif.