BERBAKI kira-kira tiga minggu menjelang bermulanya secara rasmi Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018, penganjur Ciclista Sports berpuas hati dengan tahap persiapan perlumbaan berstatus 2.HC yang sudah mencapai 80 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2018, M. Kumaresan berpuas hati dengan segala persiapan setakat ini yang mengikut jadual dan bersedia menerima kehadiran pasukan dan pelumba yang akan tiba di Langkawi mulai 14 Mac ini bagi upacara rasmi Pengenalan Pasukan yang dijadualkan di Langkawi pada 16 Mac.
LTdL sebanyak 8 peringkat merentasi lapan negeri dengan jarak keseluruhan sejauh 1341km itu akan bermula di Kangar pada 18 Mac dan berakhir di Kuala Lumpur pada 25 Mac.
“Segala persiapan dari urusan teknikal, logistic dan penyelarasan dengan negeri-negeri dan agensi terbabit berjalan lancar dan telah mencapai tahap 80 peratus.
“Secara keseluruhannya, semua jabatan sedar tanggungjawab masih-masing termasuk jabatan logistik dan laluan (routing) yang kini dalam fasa terakhir bagi tinjauan laluan dan memastikan segala laluan berada dalam keadaan terbaik. Begitu juga, urusan penginapan yang sudah diuruskan,” kata Kumaresan.
Urusan penyelarasan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga dipergiat bagi memastikan kelancaran perlumbaan yang dijangka menampilkan 22 pasukan Pro, Pro Benua, Benua dan pasukan kebangsaan itu.
“Kita perlu mengikuti perancangan yang ditetapkan KBS terutama dalam soal penetapan laluan dan urusan teknikal lain,” kata beliau.
Kerjasama dan urusan penyelarasan dengan daerah dan agensi di negeri-negeri juga berjalan lancar dengan 70 daerah dijangka terbabit secara langsung dalam pengendalian edisi kali ini.
Kumaresan menambah kata, pasukan-pasukan juga dijangka tiba awal sebelum acara pengenalan pasukan di Langkawi yang dijadualkan pada 16 Mac bagi menyesuaikan diri dengan cuaca setempat.
Setakat ini, 22 pasukan telah mengesahkan penyertaan termasuk dua pasukan professional dunia, pro benua, benua selain pasukan kebangsaan.