PELUMBA NTT Pro Cycling, Maximilian Richard Walscheid membuat permulaan baik menjelang bermula PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 apabila memenangi perlumbaan memanas badan Kriterium Antarabangsa Malaysia di bandaraya ini, hari ini.
Dalam perlumbaan yang diadakan sempena sambutan jubli perak ke-25 LTdL itu, pelumba Jerman berusia 26 tahun itu menamatkan kayuhan sejauh 80km membabitkan lapan pusingan itu dengan masa jam 42 minit 01 saat, mengatasi pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team, Harrif Salleh dan pelumba pasukan St George Continental, Blake Quick.
Kemenangan itu adalah kemenangan kedua buat pasukan NTT musim ini, selepas mengutip satu kemenangan peringkat di Peringkat 5 Tour Down Under menerusi Giacomo Nizzolo, bulan lalu.
Kemampuan henjutan terakhir itu juga memberikan gambaran awal terhadap persaingan Raja Pecut dalam LTdL 2020 yang akan bermula dengan Peringkat 1 di Bandaraya Kuching, pagi esok.
Seperti diduga, sebaik pelumba dilepaskan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal d Padang Merdeka, bermula jam 8.30 pagi, 116 pelumba yang memulakan kayuhan agresif kerana menyedari laluan landai di sepanjang 10km sepusingan itu.
Tidak hairanlah, sekumpulan 12 pelumba membuat pemecahan awal, antaranya Blake yang berada di dalam kumpulan pertama itu, sementara peloton yang diterajui pelumba pasukan Sapura Cycling Team dan Bardiani CSF Faizane cuba mengejar.
Namun kumpulan pertama itu gagal menjarakkan diri dengan selesa walaupun satu ketika mereka berada hampir 45 saat di depan, sebelum ditangkap pada pusingan terakhir menuju ke garisan penamat.
“Ada dua pelumba NTT berada dalam kumpulan pertama itu dan walaupun ditangkap, mereka membantu saya untuk berada di depan peloton sebelum saya memulakan pecutan terakhir.
“Saya gembira dengan kemenangan ini dan ini adalah satu permulaan yang baik bagi kami yang sebahagian besarnya menghadapi perlumbaan pertama untuk musim ini.
“Saya anggap ini adalah kemenangan secara berpasukan kerana kami bekerjasama dengan baik dan saya juga yakin dan berharap akan mengutip kemenangan lagi apabila LTdL bermula nanti,” kata pelumba kelahiran Neuwied yang menyertai NTT tahun ini, selepas empat tahun bersama Giant-Alpecin.
Atas usahanya itu, Walscheid menerima ganjaran RM5,000 atas kemenangannya itu dan lebih penting, moral yang tinggi untuk menghadapi asakan pakar pecut lain pada 7 laluan yang landai daripada 8 peringkat dalam jelajah LTdL 2020 yang membuka tirai saingannya, esok.
Sementara itu, Harrif berkata dia sudah mencuba sebaik mungkin dan tetap berbangga dengan podium tempat kedua dalam perlumbaan yang dianggap sukar itu.
“Saya berterima kasih dengan rakan sepasukan yang membawa saya ke kelompok depan selepas peloton dapat menangkap kumpulan breakaway. Pada 100 meter terakhir, saya mengekori seorang pelumba Bardiani tetapi ketika memulakan pecutan, jarak dengan pelumba di depan agak jauh.
“Namun, prestasi hari ini memberi keyakinan kepada saya untuk menghadapi perlumbaan sebenar LTdL selepas ini,” kata pelumba 31 tahun yang menang Peringkat 2 LTdL di Melaka, tahun lalu.
Daripada 116 pelumba yang bermula, dua pelumba gagal menamatkan kayuhan. Saingan sebenar PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 akan disingkap dengan Peringkat 1 di Kuching, pagi esok, membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9km yang merentasi sembilan buah negeri.
Sempena ulang tahun ke-25 LTdL ini, penganjur Human Voyage Sdn Bhd menganjurkan Kriterium Antarabangsa Malaysia di Kota Kinabalu dan Perlumbaan Klasik Malaysia di Pulau Langkawi, pada 15 Februari ini.