Isu penganjur baru bagi saingan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) sudah mula bermain di media massa meskipun belum diumumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ia dijangka akan diumumkan dalam waktu terdekat kerana terdapat beberapa syarikat yang sedang menyatakan minat untuk menganjurkan perlumbaan berstatus Hors yang telah dimulakan sejak 1994.

Hanya yang menjadi persoalan, peranan dan kuasa yang dimiliki oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang dipetik dalam laporan media berkenaan, ‘diberi hak dan pengiktirafan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk menganjurkan LTdL sejak 1996’ adalah tidak tepat.

Le Tour de Langkawi adalah ilham daripada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pada 1994 dimana ia bermatlamat mahu menjadi acara itu sebagai salah satu cara untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan.

First Cartel dilantik oleh KBS untuk mengendalikan LTdL sehingga ia ditamatkan pada 2006 manakala badan induk berbasikal Malaysia (PKBM) hanya berperanan untuk membantu dari aspek aspek teknikal selain menguruskan proses pendaftaran dan pembayaran untuk hak penganjuran LTdL kepada Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Bagi penganjuran LTdL 2018, tidak ada salah untuk ‘mengumumkan’ perancangan atau matlamat mahu menjadi penganjur meskipun belum diumumkan atau disahkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Dengan matlamat mahu mengurangkan kebergantungan terhadap kerajaan berhubung kos penganjuran seperti yang diharapkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar satu inisiatif yang wajar diberi pujian.

Namun perlu diingatkan, LTdL adalah hak milik kerajaan atau secara tepatnya Kementerian Belia dan Sukan.

Pengumuman siapa yang akan menjadi penganjur akan diumumkan oleh KBS dalam masa terdekat selepas proses penilaian terhadap syarikat syarikat yang menyatakan hasrat secara rasmi selesai sepenuhnya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Ciclista Sdn Bhd Shahirudeen Seeni Mohamed mengesahkan baki tunggakan pembayaran wang kemenangan bagi LTdL tahun lalu dijangka selesai selewat lewatnya minggu depan.

“Baki wang kira kira RM 900 000 tersebut kita akan terima dalam minggu ini dan ia akan diselesaikan selewat lewatnya awal minggu depan,”kata Shahirudeen.

Tambahnya lagi, mengulas tentang penganjuran LTdL tahun depan, beliau enggan memberi komen lanjut dan menyerahkan segala keputusan di tangan KBS. – OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -