Melaka United FC hadir dengan misi baharu bagi musim 2021 untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang berbanding musim 2020 apabila menduduki tangga kesembilan Liga Super 2020.
Mengekalkan pengendali sama, Zainal Abidin Hassan pada tahun ini, pasukan ini mahu terus berjuang dengan lebih garang apabila mengikat beberapa pemain baharu seperti Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Khairul Helmi Johari dan Manuel Ott.
Menurut Zainal, beliau mengakui pasukannya sebelum ini berdepan masalah di bahagian serangan dan tiada peledak gol yang mampu membantu skuad dalam perlawanan.
Justeru, kehadiran seorang lagi pemain import iaitu penyerang dari Brazil, Alex dos Santos Goncalves dilihat mampu menjadi penyelamat pasukan untuk memastikan bahagian serangan akan lebih menyengat musim ini.
Goncalves yang sebelum ini beraksi dalam Liga Indonesia bersama kelab Persela Lamongan dan Tira-Persikabo ini dilabel sebagai mesin gol di sana selepas berjaya menjaringkan 18 gol dalam 32 penampilannya.
Dengan apa yang telah ditonjolkan pemain berusia 31 tahun itu sewaktu di Indonesia memberi harapan kepada Zainal untuknya menaruh kepercayaan terhadap Goncalves bagi membantu pasukan pada musim ini.
“Alhamdulillah, sejak dia datang dalam pasukan, saya dapat lihat dia merupakan seorang penyerang yang mempunyai kualiti tersendiri dan semua itu dia tampilkan dalam latihan.
“Sebelum ini memang kami agak kekurangan daripada aspek serangan yang lebih tajam, dan Goncalves hadir untuk mengisi kekurangan yang ada itu dalam pasukan ini.
“Saya harap kualiti yang ada pada dirinya akan berkesan dan memberi impak kepada Melaka United sepertimana yang dia lakukan ketika di Indonesia”, jelasnya.
Melaka United FC akan melayan kunjungan Sabah FC ke Stadium Hang Jebat pada Sabtu, 6 Mac.