Bekas Menteri Olimpik Jepun, Toshiaki Endo melihat penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 perlu membuat keputusan sebelum Mac 2021 samada mahu meneruskan temasya itu atau sebaliknya.
Endo berpendapat, Mac 2021 adalah tarikh kritikal untuk menentukan status penganjuran Tokyo 2020 dimana atlet yang akan mengambil bahagian juga perlu tahu lebih awal sebelum memutuskan tindakan seterusnya.
Pelbagai persoalan akan timbul ketika itu khususnya pemilihan atlet yang dibenarkan berdasarkan keadaan semasa.
Pandangan itu turut didengar Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.
Tarikh baru Tokyo 2020 adalah pada 23 Julai 2021 sementara Sukan Paralimpik akan bermula 24 Ogos 2021 berbanding tarikh asal yang sepatutnya dijalankan pada tahun ini.
Namun Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bersama Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 bersetuju untuk menunda temasya susulan pandemik Coronavirus.
Tambah Endo lagi, andai pandemik Covid 19 masih belum reda sehingga musim panas tahun depan, keputusan untuk menganjurkan temasya itu dilihat berdepan kesukaran dan pelbagai halangan.
Datuk Bandar Tokyo, Yurkio Koike turut menyatakan cadangan kemungkinan untuk mengecilkan skala penganjuran selain melakukan banyak perubahan terhadap penganjuran temasya itu.
Cabaran yang perlu ditangani Jepun adalah proses kuarantin, jumlah penonton yang sangat terhad dan cabaran utama adalah kos tambahan yang akan mencecah bilion USD.
Presiden IOC, Thomas Bach dan Ahli IOC John Coates yang memantau perkembangan semasa persiapan Tokyo 2020 turut menyuarakan beberapa masalah yang mungkin timbul dan perlu dihadapi jawatankuasa penganjur.
IOC akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa eksekutif Rabu depan bersama sama penganjur Tokyo 2020 untuk mendengar cadangan yang akan dibentangkan termasuk memastikan hak penyiaran tidak terjejas teruk kerana hampir 75% daripada pendapatan IOC berpunca daripada penjualan hak penyiaran.
Selain itu, IOC juga telah bersedia untuk mengeluarkan peruntukkan berjumlah USD 650 juta untuk memastikan keselamatan di Perkampungan Olimpik yang terletak di Tokyo Bay.
Andai berlaku penambahan kos, bakinya akan ditampung oleh Jepun.
Jepun sebelum ini menyatakan kos susulan penundaan Sukan Olimpik dianggarkan diantara USD 2 bilion ke USD 6 bilion.
Mereka telah membelanjakan kira kira USD 12.6 bilion untuk penganjuran namun juruaudit mendakwa jumlahnya adalah dua kali ganda.
Daripada kos penganjuran itu, kira kira USD 5.6 bilion adalah duit rakyat.
Pada 2013, Tokyo yang memenangi bidaan sebagai penganjur Olimpik 2020 ketika itu mendedahkan kos penganjuran dianggarkan sekitar USD 7.3 bilion Â