SELEPAS mengharungi empat hari yang cerah dan panas, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 memasuki peringkat paling mencabar apabila hujan renyai menanti pelumba di Genting Highlands.
Kabus tebal dengan suhu mencecah 16 darjah celsius menyebabkan pemandangan hampir terhad, namun ia tidak sedikitpun mematahkan semangat orang ramai yang memenuhi Genting Highlands untuk menonton perlumbaan berprestij itu.
Bagi Mohd. Hafiz Hasbi yang sanggup bermotosikal dari Hulu Klang, keadaan tidak ubah seperti perlumbaan berprestij, Tour de France.
“Saya tidak sangka cuaca akan sesejuk ini. Hujan renyai dan kabus tebal dah macam perlumbaan di Eropah.
“Selalu saya menonton Tour de France di televisyen, sekarang macam tengok Tour de France depan mata,” katanya berseloroh.
Sekumpulan pelajar sekolah yang datang untuk menyaksikan perlumbaan juga tidak berganjak dari tepi garisan penamat untuk melihat detik bersejarah itu.
“Memang sejul sangat tapi alang-alang sudah sampai sini takkan tak nak tengok, rugilah,” kata Nur Aqilah Adam, yang datang dari Bentong.
Cuaca kurang mengizinkan juga menyebabkan beberapa acara dan pertunjukan terpaksa dibatalkan, namun ia tidak sedikitpun menjejaskan kemeriahan peringkat keempat LTdL 2020 dari Putrajaya ke Genting Highlands.