Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel da Silva tidak kisah pasukannya dilabel menang dengan cara ‘kotor’ setelah berjaya mencatat kemenangan pertama dengan mengejutkan juara Liga Super, Johor Darul Takzim 1-0 dalam aksi Liga Super pada Ahad.
Perlawanan itu yang dihentikan pada Sabtu ketika Kuala Lumpur mendahului 1-0 kerana padang ditakungi air, disambung semula pada Ahad dan skuad warga kota itu tampil dengan permainan ultra-defensif untuk menggagalkan usaha JDT mendapatkan gol penyamaan.
“Kita tahu setelah ketinggalan 0-1 dan mempunyai 30 minit lagi untuk diharungi, JDT akan serang habis-habisan. Jadi sebagai jurulatih sudah tentu perlu ada strategi untuk mempertahankan kelebihan itu. Bertahan atau menyerang adalah satu daripada strategi permainan, tidak ada apa yang salah.
“Kita benarkan JDT menguasai perlawanan dan melancarkan serangan demi serangan, tapi jangan lupa kami tetap berjaya mencipta lapan percubaan ke arah gawang mereka. Jadi, pasukan saya berhak dengan tiga mata ini kerana usaha yang telah mereka letakkan, ia adalah satu aksi defensif yang cukup menakjubkan dan saya gembira dengan prestasi mereka,” kata Fabio.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Paolo Josue pada masa kecederaan separuh masa pertama setelah melepasi perangkap ofsaid untuk menyambut hantaran Guilherme De Paula dan melakukan rembatan menewaskan Haziq Nadzli.
JDT mencipta sekurang-kurangnya 10 percubaan tepat ke gawang Kuala Lumpur dengan penjaga gol Kamarul Effendi Rahim bertindak cemerlang menyelamatkan lapan percubaan manakala satu percubaan oleh Luciano Figueroa diselamatkan atas garisan gol oleh Hisyamudin Shaari.
Menurut pengendali JDT, Ulises Morais, “Bagi sebuah kelab besar seperti JDT, kami tidak akan menyalahkan pemain untuk tewas pada perlawanan seperti ini. Inilah bolasepak, biasanya apabila kami mencipta peluang yang sangat banyak seperti ini kami akan menjaringkan satu atau dua gol, tetapi ia tidak berlaku dalam perlawanan ini.
“Kami tidak boleh mencari alasan, ianya salah kami. Kuala Lumpur mencipta tiga atau empat peluang tepat dan menjaringkan satu gol. Ini situasi yang berlaku apabila kita tidak manfaatkan peluang kita, pasukan lawan akan menghukum kita. Kita tidak perlu kecewa tetapi terus memandang ke depan.” – OLEH MUHAMMAD AIMAN