– SEAOWSC terima kunjungan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh

Magdalene Lau terus membuktikan statusnya selaku permata baharu negara bagi sukan renang perairan terbuka apabila menggondol pingat perak keduanya berturut-turut di Kejohanan Renang Perairan Terbuka Asia Tenggara (SEAOWSC) di Tasik Putrajaya, kali ini dalam acara 10km.

Anak jati Sarawak berusia 17 tahun itu mengulangi pencapaiannya dalam perlumbaan 5km  dengan menghabiskan saingan di tempat kedua kategori wanita 16-17 tahun dengan catatan masa satu jam, 15 minit, 10.7 saat (2:15:10.7), tiga minit di belakang juara Natwara Bovornsukseri dari Thailand (2:11:46.9).

Lebih membanggakan, Magdalene berjaya menempatkan diri di tempat ketiga dalam senarai kedudukan keseluruhan yang merangkumi para perenang dari kategori 18-19 tahun dan 20 tahun keatas.

“Pengalaman berlumba dalam acara 5km semalam memang banyak membantu saya hari ini,” kata Magdalene, yang menjadikan Michael Phelps sebagai idolanya.

“Saya beraksi jauh lebih baik berbanding semalam, namun untuk 10km, iapastinya jauh lebih memenatkan.

Satu lagi cabaran getir adalah bagaimana untuk menyelaras kelajuan kuakan supaya dapat kekal bersaing sepanjang tempoh perlumbaan.

“Jadi, saya berasa sungguh gembira untuk dapat menduduki tempat ketiga keseluruhan. Selepas berada di tangga keenam sesudah pusingan pertama, saya mula memperbaiki kedudukan lalu secara berperingkat sebelum membuat pecutan terakhir pada penghujung perlumbaan untuk menjadi tiga terbaik.

“SEAOWSC pasti akan meninggalkan kenangan manis untuk saya kerana inilah penampilan sulung bukan sahaja dalam arena perairan terbuka, malah antarabangsa juga.”

Magdalene akan mengalihkan tumpuannya kepada acara berpasukan berganti-ganti 4×1.5km dan mengharapkan satu lagi kilauan pingat untuk memberikannya satu penamat sempurna.

Malaysia turut memungut pingat perak menerusi Chelsea Lee dalam kategori wanita 18-19 tahun dan gangsa oleh Ashley Soh dalam kategori wanita 16-17 tahun.

Diketuai pelumba terpantas keseluruhan lelaki dan wanita iaitu Tanakrit Kittiya dan Pimpun Choopong, Thailand telah menyapu bersih kesemua enam pingat emas yang dipertandingkan hari ini.

Tanakrit, yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan SEA Manila, mengungguli kategori 20 tahun ke atas dengan catatan 1:56:59.9 manakala Pimpun pula muncul juara bagi saingan wanita dalam kategori yang sama selepas mencatat 2:09:55.4.

“Di Thailand, renang perairan terbuka menjadi semakin popular dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jadi ia telah menyumbang kepada pembangunan sukan ini di negara kami,” jelasTanakrit.

“Sebagai misalannya pada Disember lalu, kejohanan kebangsaan kami sahaja pun telah menarik penyertaan lebih 100 perenang. Persatuan renang kebangsaan kami telah melakukan kerja yang baik untuk melahirkan perenang-perenang perairan terbuka yang berwibawa.”

Sementaraitu, SEAOWSC telah mendapat suntikan semangat  apabila menerima kunjungan daripada Menteri Belia dan Sukan YB Hannah Yeoh.

Di sebalik jadual padatnya, Hannah sempat meluangkan masa selama setengah jam untuk beramah mesra dengan para peserta dan pegawai teknikal.

Meskipun SEAOWSC akan melabuhkan tirainya sebaik tamat acara berpasukan, namun kerancakkan aksi di Tasik Putrajaya tidak berakhir di situ.

Ini kerana Aquathlon NeptuneX113 (NX113) akan menyusul   dengan angka penyertaan yang mencecah 500 atlet.

NX113 yang berlangsung satu hari itu akan menjanjikan saingan sengit kerana menjadi medan perebutan tempat untuk mewakili negara pada Sukan SEA di Kemboja pada Mei depan.

Aquathlon, yang membabitkan disiplin larian dan renang, akan dipertandingkan buat kali pertama di temasya sukan dwi tahunan itu.

Tiga kategori yang dipertandingkan adalah Standard (renangan 1.5km renang/larian 10km), Pecut (renangan 750m/larian 5km) serta Super Sprint (renangan 500m/larian 2.5km).

- Advertisement -