Oleh Muhammad Aiman
Johor Darul Takzim (JDT) akan mengesahkan kejuaraan lebih awal seterusnya melakar sejarah merangkul hatrik gelaran Liga Super, andai menewaskan pasukan yang bergelut di zon penyingkiran, Terengganu di Stadium Tan Sri Hj. Hassan Yunus malam ini.
Di atas kertas, skuad dilimpahi pemain bintang itu nyata dilihat tidak bermasalah untuk menjadikan tarikh 9 September sebagai malam bersejarah buat mereka dan pengendalinya Mario Gomez mahu barisan pemain Harimau Selatan menyudahkan tanggungjawab dengan sempurna agar fokus boleh segera dialihkan ke saingan Piala AFC.
“Kami tidak mahu melanjutkan perebutan kejuaraan lebih lama, ini adalah masanya dan saya yakin pemain boleh lakukannya. Kemenangan ini penting kerana selepas ini kami tidak perlu memikirkan lagi tentang aksi liga dan boleh memberi tumpuan penuh terhadap aksi suku akhir Piala AFC menentang South China (Hong Kong) yang akan berlangsung Selasa,” ujar Gomez.
Bagaimanapun, pengendali dari Jerman itu tetap tidak mahu pemainnya mengambil mudah cabaran sang penyu meskipun pasukan itu ketika ini berada di kedudukan tiga tercorot kerana Terengganu juga memerlukan kemenangan untuk keluar dari zon penyingkiran apatah lagi mereka hanya satu mata dipisahkan dengan pasukan tangga kesebelas, Pulau Pinang.
Mengenai barisan pemain yang akan diturunkan, Gomez mengesahkan dia terpaksa melakukan sedikit rombakan memandangkan pemain import dari Singapura, Hariss Harun tidak dapat diturunkan kerana menjalani penggantungan dua perlawanan setelah mengumpul enam kad kuning.
“Kemungkinan besar saya akan menurunkan Amirulhadi (Zainal) untuk bergandingan dengan Safiq (Rahim) di barisan tengah. Saya juga tidak dapat menurunkan pemain sayap Azinee Taib yang belum pulih dari kecederaan dialami ketika menentang Felda sebelum ini.
“Saya akan buat keputusan sebelum perlawanan sama ada menurunkan Amri (Yahyah) atau Nazrin (Nawi) di posisi itu. Amri baru sahaja pulang dari tugasan antarabangsa jadi saya perlu melihat dulu situasinya. Selebihnya tiada perubahan ketara,” kata Gomez.
Kemenangan ke atas pencabar terdekat, Felda United sebelum liga berhenti rehat untuk aksi antarabangsa dua minggu lalu membolehkan JDT mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas dengan 49 mata, membuka jurang tujuh mata mengatasi skuad bimbingan Irfan Bakti itu tatkala tinggal hanya tiga lagi perlawanan untuk mengakhiri musim.
Sementara itu, lima lagi perlawanan lain akan berlangsung pada Sabtu dengan Felda bertandang ke Kuala Terengganu untuk menentang T-Team, Kedah melayan kunjungan Perak, Selangor bertemu Pahang, Kelantan berdepan Sarawak dan Pulau Pinang bertemu PDRM.