Oleh Muhammad Aiman
Pada ketika tumpuan aksi ke-19 Liga Super terarah kepada pertembungan antara dua pasukan teratas Johor Darul Takzim dan Felda United yang bersaing sengit memburu kejuaraan, persaingan bagi memburu tempat ketiga serta keluar dari zon penyingkiran juga semakin rancak.
Kedah membawa misi mengukuhkan cengkaman di kedudukan ketiga apabila bertandang ke Kota Bharu bagi pertemuan menentang pasukan tangga kelima, Kelantan dengan hanya empat mata memisahkan kedua-dua pasukan itu.
Di atas kertas, Lang Merah kendalian Tan Cheng Hoe dilihat berpeluang meneruskan momentum kemenangan setelah menang tiga perlawanan terakhir.
Namun The Red Warriors yang sedang menunjukkan prestasi meningkat naik pastinya mahu memanfaatkan kelebihan gelanggang sendiri untuk mengecewakan Kedah seterusnya merapatkan jurang kepada hanya satu mata.
Begitupun, andai kedua-dua pasukan gagal mengutip mata penuh, ia mungkin menjadi rahmat buat Selangor yang berada di tangga keempat â satu mata di belakang Kedah â untuk kembali merampas kedudukan ketiga.
Selangor bagaimanapun perlu terlebih dahulu bangkit dari prestasi buruk dan menoktahkan kemarau kemenangan yang sudah berpanjangan sejak lima perlawanan lalu.
Gergasi merah kuning akan turun berdepan Sarawak di Kuching, dibayangi hakikat bahawa kemenangan terakhir mereka dalam saingan liga adalah pada 16 Julai lalu ketika menewaskan PDRM 2-1, dan sejak itu hanya mengutip dua mata dari maksima 15 mata â pencapaian yang turut membawa kepada pemecatan Zainal Abidin Hassan.
Pengendali sementara, K.Gunalan yang masih belum tewas sepanjang empat perlawanan dia mengambil alih pasukan berkata, âKita sangat-sangat memerlukan kemenangan untuk kembali mencabar kedudukan ketiga, tapi sayangnya kita tidak dapat membariskan skuad terkuat berdepan Sarawak kerana kecederaan.â
Bekas pemain pertahanan kebangsaan itu menjelaskan dia akan kehilangan khidmat pemain import dari Argentina Mauro Olivi dan pemain sayap lincah, R.Gopinathan, manakala Razman Roslan mungkin tidak dapat diturunkan dalam kesebelasan utama.
âSarawak sememangnya sukar ditundukkan di Kuching. Mereka ketika ini tidak jauh dari zon penyingkiran jadi saya yakin mereka akan berikan tentangan sengit dan menyukarkan kita. Saya bukan mencari alasan tetapi itulah realitinya ketika ini.â
Sarawak ketika ini berada di kedudukan kesepuluh dengan 18 mata, hanya dipisahkan menerusi beza jaringan dengan pasukan di tangga kesebelas Terengganu.
Sementara itu, Terengganu dan Pahang yang sedang bergelut di zon penyingkiran pula akan berentap di Gong Badak dengan masing-masing tiada pilihan selain mencatat kemenangan jika mahu menghidupkan peluang terus kekal di Liga Super musim depan.
Untuk rekod, Terengganu tidak menang dalam enam perlawanan terakhir manakala Pahang pula kemarau kemenangan sejak lima perlawanan yang lalu dan terperosok di tangga tercorot dengan hanya 13 mata.
Jurulatih Pahang, Razip Ismail berkata, âKita perlu mengerah sepenuh kudrat kerana Terengganu juga berdepan nasib sama seperti kita dan memerlukan kemenangan untuk berada di zon selamat. Saya perlu pastikan pemain memanfaatkan peluang untuk menewaskan Terengganu.