Skuad B-22 tahun kebangsaan mengakhiri Jelajah China dengan kemenangan selesa 3-0 ke atas skuad simpanan Guangzhou Evergrande dalam aksi persahabatan ketiga, petang tadi.
Ia adalah kemenangan pertama buat skuad bimbingan Dato’ Ong Kim Swee setelah tewas 0-1 kepada China B-22 pada Sabtu dan kemudiannya terikat 2-2 dengan skuad simpanan Guangzhou R&F dua hari lalu.
Penyerang Pulau Pinang, Jafri Firdaus Chew menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-38 sebelum Syafiq Ahmad menggandakan kelebihan pada minit ke-77 dan penyerang yang semakin mencuri tumpuan, N.Thanabalan melengkapkan kemenangan 3-0 pada minit akhir permainan.
Menurut Kim Swee, dia telah berpeluang menguji kesemua 22 pemain yang dibawanya ke China dan menjelaskan bahawa telah mendapat gambaran awal mengenai apa yang perlu dilakukan sebaik kembali ke tanah air pada Jumaat.
“Hari ini saya turunkan kesebelasan terbaik, kecuali ada pemain mengalami kecederaan seperti S.Kumaahran dan Syahmi (Safari). Selebihnya pemain yang diturunkan membuktikan mereka boleh beraksi dengan baik terutama di depan pintu gol lawan dan tidak dibolosi.
“Kita mencipta peluang dan menjaringkan gol, ini antara aspek yang telah kita baiki. Kita masih dalam proses pembinaan pasukan dan kejayaan seperti ini adalah sesuatu yang kita perlu kekalkan. Saya akan tengok apa perlu dilakukan, masih terlalu awal untuk kita buat sebarang kesimpulan,” kata Kim Swee.
Sebaik kembali ke tanah air, pasukan B-22 negara akan meneruskan latihan sehingga 23 Jun di Wisma FAM. Mereka masih ada satu lagi perlawanan persahabatan untuk diharungi iaitu menentang Melaka United pada 22 Jun nanti.
Kim Swee ketika ini sedang diat mempersiapkan pasukan untuk menghadapi kempen Kelayakan Kejohanan AFC B-23 pada Julai disusuli Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 pada Ogos. – OLEH MUHAMMAD AIMAN