Oleh Muhammad Aiman
Di sebalik prestasi kurang meyakinkan, skuad hoki remaja negara tetap menarik nafas lega apabila mengakhiri kemarau kemenangan dengan menewaskan New Zealand 2-1 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Kejohanan Hoki B-21 Piala Sultan Johor.
Empat mata dari lima perlawanan tidak merubah kedudukan Speedy Tigers di kedudukan kelima, begitu juga New Zealand kekal di tangga tercorot tanpa sebarang mata sekaligus bakal menyaksikan kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi bagi perlawanan klasifikasi tempat kelima pada Ahad.
Pada perlawanan di Stadium Taman Daya itu, jangkaan bahawa skuad bimbingan Wallace Tan akan melakar kemenangan besar menentang New Zealand yang bolos 24 gol dalam empat perlawanan terdahulu nyata meleset.
Sebaliknya The Kiwis terlebih dahulu mengejutkan kem negara apabila meledak jaringan pembukaan menerusi pukulan sudut penalti ketua pasukan, Brad Read seawal minit kesembilan dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Hanya di separuh masa kedua, pasukan negara kelihatan tampil dengan lebih bertenaga dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Nik Aiman Nik Rosemi pada minit ke-38 sebelum Najmi Farizal Jazlan menyempurnakan pukulan sudut penalti 10 minit kemudian untuk gol kemenangan.
Malaysia terdahulu gagal mempertahankan pencapaian menduduki tempat ketiga tahun lalu setelah sekadar mampu mengutip satu mata dari empat perlawanan iaitu ketika seri menentang Australia, selebihnya tewas tiga kali masing-masing kepada England, Pakistan dan Jepun.
Dalam pada itu, kejuaraan untuk saingan tahun ini akan ditentukan oleh Australia dan Pakistan setelah kedua-dua pasukan menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan dua teratas.
Australia yang sudahpun mengesahkan tempat di final lebih awal mencatat keputusan seri 2-2 menentang England untuk unggul di kedudukan teratas dengan 11 mata, manakala Pakistan mengecewakan harapan besar Jepun dengan mencatat kemenangan 2-1 seterusnya melonjak ke tangga kedua dengan 10 mata.
Saingan hari terakhir pada Ahad akan menyaksikan Australia berdepan Pakistan bagi merebut kejuaraan, Jepun menentang England (ke-3/4) dan Malaysia berdepan New Zealand.