Skuad bolasepak B-22 negara beroleh suntikan terbaik sebelum bertandang ke Bangkok bagi menghadapi pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 2018 apabila melakar kemenangan 2-0 ke atas pasukan B-22 Myanmar dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, pada Khamis.
Di sebalik persiapan serba pincang di mana pengendali, Dato’ Ong Kim Swee hanya dapat mengumpulkan kesemua 26 pemain sehari sebelum perlawanan, ia tidak menghalang pasukan negara diketuai Adib Zainuddin untuk tampil dengan permainan bertenaga.
Malah, jika bukan kerana ketiadaan sentuhan penyudah – aspek yang perlu segera diperkemas Kim Swee – skuad yang akan turut membawa cabaran di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu pastinya sudah berpesta gol dengan setidak-tidaknya lima peluang terbuka di hadapan pintu gol disia-siakan.
Pada perlawanan itu, skuad negara membuka jaringan menerusi penyerang Felcra FC yang semakin mencipta nama, N.Thanabalan yang menanduk masuk hantaran sepakan sudut Syazwan Andik Mohd Ishak pada minit ke-26.
Perlawanan terpaksa dihentikan selama beberapa minit bermula minit ke-33 apabila hujan lebat dan angin kencang menyebabkan serpihan bumbung stadium berterbangan memasuki padang dan sejurus permainan bersambung, aksi kedua-dua pasukan sedikit terjejas gara-gara padang becak dan ditakungi air.
Thanabalan, Sean Eugene Selvaraj, Aksyar Rashid dan Syafiq Ahmad kesemuanya beroleh peluang menggandakan kelebihan buat Malaysia di separuh masa kedua namun gagal menyempurnakan peluang terhidang tatkala Myanmar dilihat tenggelam dan hanya sesekali mengatur gerakan.
Setelah beberapa kali gagal, pemain gantian, Danial Asyraff Abdullah merembat masuk dari jarak dekat pada minit ke-87 untuk menjadikan kedudukan 2-0 sekaligus memadam sisa perjuangan skuad bimbingan Gerd Zeise itu yang akan turut mengharungi pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Myanmar.
Untuk rekod, Malaysia dan Myanmar diundi sekumpulan di temasya KL 2017 yang akan berlangsung pada Ogos depan. Malaysia membawa misi merampas semula ibu segala pingat emas itu setelah kali terakhir memenanginya pada 2011 manakala Myanmar pula merupakan finalis edisi Singapura 2015. – OLEH MUHAMMAD AIMAN