Pasukan futsal negara akan turun menentang tuan rumah Vietnam dalam aksi separuh akhir Kejuaraan Futsal AFF 2017 malam ini dengan misi besar mahu mengakhiri badi tujuh tahun gagal melangkah ke perlawanan akhir.
Kali terakhir skuad negara bermain di perlawanan akhir adalah pada 2010, juga ketika Vietnam menjadi tuan rumah namun selepas itu mereka tiga kali kandas di separuh akhir pada 2012, 2015 dan 2016. Pada edisi 2013 dan 2014 pula gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.
Ketua jurulatih, Chiew Chun Yong berkata skuad negara tidak mahu berputih mata sekali lagi dan bersedia menyajikan aksi berkualiti tinggi untuk meneruskan kemaraan meskipun Vietnam mempunyai kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri.
“Ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar kerana Vietnam pastinya bermotivasi tinggi di hadapan penyokong sendiri namun bagi saya kekuatan kedua-dua pasukan adalah seimbang, kita pernah bertemu mereka dua bulan lalu (Sukan SEA) di mana perlawanan berkesudahan seri jadi tiada sebab untuk kita gentar.
“Jika pemain kerah tenaga, fokus dan tampilkan prestasi sebenar mereka, saya percaya kita boleh tewaskan Vietnam. Memang saya akui kita sedikit bergelut ketika perlawanan peringkat kumpulan, permainan juga tidak seperti diharapkan namun separuh akhir akan menjadi satu perlawanan berbeza, keyakinan mereka cukup tinggi,” kata Chun Yong kepada Sports247.Â
Untuk rekod, Malaysia mara ke separuh akhir setelah muncul naib juara Kumpulan B dengan enam mata hasil kemenangan ke atas Timor Leste (7-2) dan Laos (6-2). Juara bertahan Thailand mara selaku juara kumpulan setelah menundukkan Malaysia 6-3 dalam aksi terakhir kumpulan.
Thailand akan menentang Myanmar dalam satu lagi aksi separuh akhir. Kesemua empat pasukan yang mara ke separuh akhir juga sudah mengesahkan tempat di Kejuaraan Futsal Asia 2018 yang akan berlangsung di Taiwan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN