mas.timo

Oleh Muhammad Aiman

Pasukan kebangsaan bimbingan Dato’ Ong Kim Swee mengetepikan segala sangsi terhadap keupayaan mereka apabila membenam Timor Leste 3-0 dalam aksi play-off kelayakan Piala Asia, di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin pada Khamis malam.

Malaysia turun ke perlawanan ini berdepan keraguan ramai berikutan prestasi hambar dan ketumpulan penyudah yang gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan terakhir, termasuk ketika seri tanpa jaringan menentang Myanmar pada Sabtu lalu serta barisan amatur Macau pada bulan Mac.

Namun, dua jaringan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-18 dan 22 serta penyerang veteran Amri Yahyah empat minit sebelum tamat memastikan Harimau Malaysia melakar kemenangan 3-0 dan membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di gelanggang sama pada Isnin nanti.

Hakikatnya, Timor Leste tidaklah sehebat yang dicanang sebelum perlawanan dan bernasib baik untuk tidak tewas dengan jaringan lebih besar, terima kasih kepada ketangkasan penjaga gol mereka Ramos Saozinho Riberio.  

Di sebalik menyenaraikan pemain naturalisasi mereka, skuad bimbingan Fabio Jaoquim dilihat lebih banyak ‘berkampung’ di kawasan sendiri dan tidak banyak mencipta gerakan-gerakan menarik walaupun ada sesekali menguji ketangkasan Izham Tarmizi. 

Sebaliknya, Malaysia mendominasi perlawanan dan melakukan deretan percubaan menerusi Hazwan yang mengalas tanggungjawab selaku penyerang tunggal selain menguji Ramos menerusi Baddrol Bakhtiar, Amirulhadi Zainal dan Brendan Gan.

Dengan kemenangan selesa ini, mencerahkan peluang Malaysia untuk layak secara terus beraksi di saingan peringkat kumpulan pusingan kelayakan ketiga Piala Asia 2019 yang akan bermula pada 28 Mac 2017.

Untuk rekod, Malaysia terpaksa mengharungi pusingan play-off untuk beraksi di pusingan kelayakan ketiga selepas menamatkan saingan pusingan kedua Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di tangga keempat dengan mengutip empat mata dari lapan perlawanan.

- Advertisement -