mas.hockey

Oleh Muhammad Aiman

Skuad hoki kebangsaan membuka tirai Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2016 dengan langkah kanan apabila menundukkan juara bertahan, Pakistan 4-2 di Stadium Wisma Belia Kuantan pada Khamis.

Pada perlawanan yang berlangsung dalam hujan lebat dan terpaksa dihentikan sekitar 15 minit, The Speedy Tigers tampil dengan aksi bertenaga untuk bangkit daripada ketinggalan 1-2 dan memastikan tiga mata dengan menjaringkan tiga gol di separuh masa kedua.

“Hujan turun tepat pada waktunya dan ini menjejaskan sedikit rentak lawan dalam masa sama memberi peluang kepada pemain kita membetulkan kesilapan dan memperkemas permainan walaupun Pakistan bukan lawan mudah,” ujar jurulatih Stephen Van Huizen.

Tambahnya, “Seperti saya katakan sebelum ini, pukulan sudut penalti adalah kekuatan kita di kejohanan ini dan kita memanfaatkan sebaiknya peluang yang kita dapat. Dua gol Faizal (Saari) menjadi pemisah pada perlawanan ini dan saya yakin lebih banyak lagi akan menyusul darinya selepas ini.

“Saya berharap prestasi sama dapat ditunjukkan apabila berdepan China pada Jumaat, dan walaupun mereka adalah sebuah pasukan berwajah baru, saya tidak mahu pemain memandang ringan cabaran mereka.”

Aksi menentang Pakistan, juara dua kali pada 2012 dan 2013 menyaksikan Malaysia membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi Firhan Ashaari yang menolak masuk dari jarak dekat setelah percubaan pukulan sudut penalti Razie Rahim tertampan pertahanan lawan.

Kelebihan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila hanya lima minit selepas itu, Pakistan menyamakan kedudukan menerusi Aleem Bilal yang menyungkit pukulan sudut penalti melepasi jangkauan S.Kumar di gawang negara.

Walaupun tanpa kapten, Mohamed Irfan yang tidak beraksi kerana masalah visa, Pakistan tampil lebih tersusun dan mendahului pada minit ke-34 juga menerusi pukulan sudut penalti Bilal sebelum perlawanan terpaksa dihentikan tiga minit selepas itu setelah hujan semakin lebat dan padang ditakungi air.

Sebaik perlawanan bersambung, Malaysia tampil berbeza dan menyamakan kedudukan 2-2 menerusi penyerang, Faizal Saari dan kemudiannya mendahului pada minit ke-41 menerusi pukulan sudut penalti Shahril Saabah.

Faizal memastikan kemenangan bergaya Malaysia apabila menyempurnakan satu lagi pukulan sudut penalti pada minit akhir permainan.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung pada hari pembukaan, menyaksikan India tampil dalam kelas tersendiri untuk membelasah Jepun 10-2, dengan Rupinder Pal Singh menjaringkan enam gol menerusi pukulan sudut penalti.

Ramandeep Singh menjaringkan dua gol, manakala Talwinder Singh dan Yousof Arfan masing-masing menjaringkan satu gol untuk melengkapkan kemenangan India tatkala gol buat Jepun dijaringkan oleh Kenta Tanaka dan Hiromasa Ochiai.

- Advertisement -