delia.arnold
Delia Arnold

Oleh Muhammad Aiman

Malaysia memulakan cabaran di Kejohanan Skuash Berpasukan Wanita Dunia di Paris dengan langkah kanan, setelah mudah membenam Belanda 3-0.

Pemain remaja, S. Sivasangari yang membuat penampilan pertama di kejohanan dunia, menghadiahkan mata pertama negara dengan kemenangan 3-0 (11-4, 11-7, 11-7) mengatasi Tessa Ter Sluis.

Ratu skuash negara, Dato’ Nicol David memastikan kemenangan pertama Malaysia dalam aksi Kumpulan C setelah mengatasi bekas seteru utamanya yang juga bekas pemain nombor dua dunia, Natalie Grinham 3-0 (11-6-11-3, 11-1).

Ia adalah kemenangan ke-30 buat Nicol dari 48 pertemuan menentang Natalie yang kini berada di ranking ke-79 dunia, dan dia juga melebarkan rekod tanpa kalahnya di kejohanan ini kepada 31 perlawanan sejak 2004.

Juara kebangsaan, Delia Arnold kemudiannya melengkapkan kemenangan 3-0 buat Malaysia setelah mengetepikan tentangan sengit Milou Van Der Heijden 3-2 (9-11, 11-7, 11-5, 8-11, 11-5).

Malaysia akan berdepan pilihan keenam, Australia dalam aksi kedua lewat malam Selasa.

Australia turut bermula dengan kemenangan setelah menewaskan Austria 3-0, bermakna pemenang pertemuan Malaysia-Australia berkemungkinan besar akan menamatkan cabaran kumpulan selaku juara.

Sementara itu, aksi Kumpulan A meyaksikan pilihan utama Mesir yang diketuai juara dunia, Nour El Sherbini tidak bermasalah menundukkan India 3-0, tatkala New Zealand menundukkan Mexico juga dengan keputusan 3-0.

Manakala dalam Kumpulan D, juara Terbuka Amerika, Camille Serme mengetuai cabaran Perancis untuk melakar kemenangan 3-0 ke atas Sepanyol dan Hong Kong pula menundukkan Jepun 3-0. 

- Advertisement -