Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) memberi gambaran betapa Malaysia mempunyai potensi menganjurkan Sukan Komanwel 2022 meskipun setakat ini tiada sebarang minat ditunjukkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk membida menjadi tuan rumah temasya empat tahun sekali itu.
Ketua Pegawai Eksekutif CGF, David Grevemberg yang mengetuai delegasi CGF bagi memantau kemudahan sukan dan mengadakan perbincangan dengan MOM berkata Kuala Lumpur merupakan satu daripada bandaraya-bandaraya di seluruh dunia yang sedang dinilai untuk menjadi penganjur.
“Kita mahu melihat kesungguhan serta apa yang boleh negara itu tawarkan, selain apa peranan yang boleh kami (CGF) mainkan sekiranya mereka berminat menjadi tuan rumah,” kata Grevemberg dalam sidang media di Wisma MOM pada Jumaat.
CGF pada Mac lalu melucutkan hak bandar raya Durban, Afrika Selatan untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2022 berikutan kegagalan bandar raya itu menepati tarikh akhir serta masalah kewangan, selain tidak mendapat sokongan kerajaan.
England, Australia dan Kanada kemudiannya dilaporkan media antarabangsa sebagai berminat menganjurkan temasya itu bagi menggantikan Durban selaku tuan rumah tatkala Sukan Komanwel 2018 pula akan berlangsung di Australia pada April.
Sementara itu, Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar berkata Malaysia mempunyai pengalaman luas menganjurkan pelbagai kejohanan sukan dengan yang terdekat adalah Sukan Sea pada Ogos depan namun menegaskan pelbagai faktor perlu dipertimbang sebelum keputusan mahu membida ataupun tidak dibuat.
“Kita akan memanggil CGF lagi untuk datang ketika Sukan Sea berlangsung, bagi melihat sendiri apa yang kita lakukan. Buat masa ini, perbincangan tidak menyentuh tentang bidaan sebaliknya CGF hanya mahu melihat apa yang boleh kita lakukan jika diberi peluang. Ia sekadar untuk mendapatkan gambaran awal sahaja.
“Mungkin, saya tegaskan MUNGKIN kita boleh jadi tuan rumah Sukan Komanwel 2022 atau 2026 tetapi sokongan kerajaan menjadi keutamaan. Kerajaan akan menilai keupayaan, obligasi dan manfaat penganjuran kerana ia bukan sahaja perihal kos, tetapi pelbagai aspek lain perlu dinilai jika tidak mahu terpalit dengan imej negatif sepertimana ketika Rio menjadi tuan rumah Olimpik tahun lalu.”
Untuk rekod, Malaysia pernah menganjurkan Sukan Komanwel sekali iaitu pada 1998 yang berjaya memberikan sukan seperti Ragbi Tujuh Sebelah pengiktirafan besar sehingga ia dipertandingkan di Sukan Olimpik, selain menjadi pemangkin kepada wujudnya Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil. – OLEH MUHAMMAD AIMAN