Oleh Muhammad Aiman
Kemarau kemenangan terus berpanjangan buat skuad hoki remaja negara di Kejohanan Hoki B-21 Piala Sultan Johor, apabila tewas 1-2 kepada Jepun dalam perlawanan keempat peringkat kumpulan di Stadium Taman Daya sebentar tadi.
Ia adalah kekalahan ketiga buat skuad bimbingan Wallace Tan di kejohanan membabitkan enam pasukan ini setelah tewas kepada England (1-2) pada perlawanan pembukaan dan kemudiannya tewas kepada Pakistan (1-4) dalam aksi ketiga pada Rabu lalu.
Ini menyaksikan Speedy Tigers kekal di tangga kelima dengan hanya satu mata hasil keputusan seri menentang Australia, dengan tinggal hanya satu perlawanan menentang New Zealand pada Sabtu untuk diharungi.
Manakala tiga mata yang diraih menyaksikan Jepun melonjak ke tangga kedua dengan sembilan mata, mengatasi England dan Pakistan yang mengumpul tujuh mata masing-masing.
Menentang Jepun yang segar dengan dua kemenangan ke atas New Zealand dan England, pasukan negara bermula dengan rentak positif dan berhasil mendahului menerusi jaringan padang Mohd Rashid Baharom pada minit ke-16.
Bagaimanapun jaringan itu gagal menyuntik motivasi untuk tampil lebih agresif, sebaliknya aksi longlai diterjemahkan sekaligus memberi ruang kepada Jepun bimbingan Mizawa Takayasu untuk bangkit mengawal permainan seterusnya melakar kemenangan ketiga berturut-turut.
Kegagalan menangani pukulan sudut penalti membawa padah apabila dua jaringan Jepun terhasil menerusi situasi tersebut – jaringan pertama pada minit ke-27 manakala jaringan kedua tujuh minit sebelum tamat permainan, kedua-duanya disempurnakan Miyu Tanimitsu.
Sementara itu, Australia mengaibkan Pakistan 8-1 untuk unggul selaku pendahulu dengan 10 mata di tangga teratas. Gol buat Australia dijaringkan Craig Tom (m-5, 17, 34), Blake Govers (m-21), Gerrard Frazer (m-25, 47), Hendry Max (m-50) dan Proctor Ryan (m-67).
England pula menyalakan peluang untuk beraksi di perlawanan penentuan juara apabila menewaskan New Zealand 4-2.