Malaysia menyepak mula misi memburu pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan langkah kanan setelah menewaskan Brunei 2-1 di Stadium Shah Alam sebentar tadi.
Disaksikan hampir 15,000 penyokong, skuad B-22 negara tidak menunggu lama untuk mendahului menerusi rembatan voli cantik Safawi Rasid setelah menerima hantaran dari Matthew Davies seawal minit keempat.
Brunei bagaimanapun hanya mengambil masa lapan minit untuk menyamakan kedudukan setelah Zulkhairy Hadi Razali memanfaatkan kelekaan barisan pertahanan Malaysia.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad bimbingan Dato’ Ong Kim Swee bangkit memperkemas permainan dan hampir menjaringkan gol kedua namun sepakan akrobatik Daniel Amir Norhisham melewati tiang gol pada minit ke-13.
Asakan berterusan Malaysia menyaksikan tandukan Safawi pada minit ke-19 sedikit tersasar manakala sepakan percuma pemain Johor Darul Takzim itu pada minit akhir separuh masa mengegar palang sekaligus menyaksikan kedudukan kekal 1-1 menuju rehat.
Seminit bersambung babak kedua, Safawi sekali lagi berpeluang meletakkan Malaysia di depan namun rembatan dari luar kotak penalti diselamatkan penjaga gol Brunei, Hairie Anak Nyaring.
Minit ke-59, kesungguhan Malaysia memburu tambahan jaringan membuahkan hasil apabila pemain Selangor Adam Nor Azlin menanduk masuk sepakan penjuru Safawi dan gol itu kekal sehingga tamat perlawanan.
“Ini adalah perlawanan pertama dan seperti saya katakan Brunei bukan lawan mudah, mereka menyukarkan kita. Kita juga membazir banyak peluang jaringan, apapun saya gembira dengan determinasi pemain yang bekerja keras mencari gol kedua. Untuk bermula dengan tiga mata adalah sangat penting,” kata Kim Swee pada sidang media selepas perlawanan.
Manakala jurulatih Brunei, Kwon Oh Son pula berkata, “Kami tahu mereka berbahaya dalam situasi set-piece tetapi sedikit leka dan dihukum. Tetapi kredit kepada pemain kerana bermain baik di separuh masa pertama dan berjaya menyamakan kedudukan. Ini kali pertama pemain saya bermain di hadapan penyokong ramai, mereka gugup dan gementar.”
Turut hadir menyaksikan perlawanan adalah Menteri Belia dan Sukan, Brig Jeneral Khairy Jamaluddin bersama-sama ketua kontijen Sukan SEA KL2017, Dato’ Marina Chin dan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia, Dato’ Hamidin Mohd Amin.
Aksi Malaysia yang seterusnya adalah menentang Singapura pada 16 Ogos di Stadium Shah Alam manakala Brunei akan berdepan Myanmar pada 18 Ogos di Stadium Uitm. – OLEH MUHAMMAD AIMAN