Malaysia melonjak selaku pendahulu Kumpulan H pusingan kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 setidak-tidaknya untuk tempoh tiga jam setelah menewaskan Mongolia 2-0 di Stadium Nasional Bangkok, sebentar tadi.
Setelah terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama, Malaysia B-22 bimbingan Dato’ Ong Kim Swee membuka jaringan enam minit selepas babak kedua bersambung menerusi N.Thanabalan dan mengesahkan tiga mata menerusi jaringan cantik Syazwan Andik Ishak pada minit ke-87.
Namun sama ada Malaysia akan mara atau tidak ke pusingan akhir di China kini bergantung kepada pertemuan di antara tuan rumah, Thailand dan Indonesia yang akan berlangsung jam 8 malam nanti.
Malaysia perlu mengharapkan Indonesia menewaskan Thailand, atau sekurang-kurangnya mengikat skuad bimbingan Worawut Srimaka itu dengan keputusan seri jika mahu layak selaku juara kumpulan.
Andai Thailand berjaya mencatat kemenangan, mereka akan mara secara automatik selaku juara kumpulan manakala Malaysia jatuh ke tempat kedua dan perlu berharap supaya dapat berada di kelompok lima pasukan tempat kedua terbaik. – OLEH MUHAMMAD AIMANÂ