MALAYSUA PAMPUA

Oleh Muhammad Aiman

Skuad bolasepak kebangsaan bertandang ke Oceania untuk misi memperbaiki ranking, tetapi aib pula yang menimpa setelah skuad kendalian Dato’ Ong Kim Swee tewas 0-2 kepada Papua New Guinea dalam aksi pertama Jelajah Oceania, sebentar tadi.

Pasukan di tangga ke-193 dunia itu melakar kemenangan ke atas barisan kedua negara menerusi dua jaringan Tommy Semmy pada minit ke-35 dan 42 di Stadium Sir John Guise, Port Moresby.

Harimau Malaysia beraksi 25 minit terakhir dengan hanya 10 pemain setelah Shahrom Kalam terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan tiada lagi pertukaran pemain dibenarkan.

Kekalahan ini pastinya satu tamparan hebat buat kem negara yang sebelum ini mensasarkan untuk mengutip mata maksimum dari tiga perlawanan yang telah dirancang tatkala Dato’ Ong Kim Swee mungkin meratapi kesilapannya merehatkan beberapa pemain tonggak untuk perlawanan ini.

Disuntik keyakinan dek dua kemenangan ke atas Timor Leste sebelum ini, Malaysia turun tanpa Izham Tarmizi, Aidil Zafuan Abdul Razak, S.Kunanlan dan Hazwan Bakri dengan Kim Swee memilih untuk memberi kap antarabangsa sulung buat Abdul Latiff Suhaimi dan penjaga gol Farhan Abu Bakar.

Meskipun menguasai babak awal permainan, Harimau Malaysia yang diketuai Amri Yahyah bagaimanapun kurang menyengat di depan gawang PNG dan ketinggalan 0-2 di babak pertama menerusi dua gol Tommy dalam tempoh tujuh minit.

Lima pertukaran serentak yang dibuat dengan membawa masuk Kunanlan, Fazly Mazlan, Amirulhadi Zainal, Amirul Hisyam Awang Kechik dan S.Chanturu dalam usaha menterbalikkan keputusan perlawanan juga tidak membuahkan hasil.

Kemasukan Christie Jayaseelan pada minit ke-62 merancakkan pemburuan gol pasukan negara namun PNG tetap utuh bertahan untuk memastikan kemenangan.

Selepas ini, Malaysia akan berdepan pasukan di ranking ke-183 dunia, New Caledonia di Noumea pada 22 Jun dan menutup tirai Jelajah Oceania dengan menentang Fiji (186) di Nadi pada 26 Jun.

- Advertisement -