Oleh Muhammad Aiman
Skuad hoki kebangsaan hanya memerlukan satu mata dari perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang India pada Jumaat untuk layak beraksi di perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-25 yang semakin menghampiri kemuncaknya di Ipoh, Perak.
Malaysia mencatat kemenangan kurang meyakinkan 1-0 ke atas Pakistan pada Rabu, namun ia memadai untuk membantu skuad bimbingan Stephen Van Huizen melonjak ke tangga keempat kedudukan kumpulan dengan lapan mata, tiga mata mengatasi pasukan tangga kelima, Kanada.
Walaupun hanya mencari keputusan seri, The Speedy Tigers bagaimanapun boleh menjangkakan perlawanan sukar menentang India yang dijangka turun agresif bagi mengutip tiga mata untuk layak ke final.
“Kita masih terlalu jauh untuk menyaingi pasukan-pasukan besar dan keputusan baik menentang India adalah penting. Selepas itu baru kita boleh melihat dan mensasarkan di mana kedudukan yang realistik untuk kita. Apa yang saya minta dari pemain adalah tunjukkan kualiti dan komitmen terbaik, buktikan kita tidak gentar berdepan siapapun,” kata Stephen.
India seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila terlepas peluang untuk mengesahkan kemaraan ke final lebih awal gara-gara kekalahan 1-2 kepada juara bertahan New Zealand pada Rabu yang menyaksikan pasukan The Black Sticks itu mengambil alih kedudukan kedua dan menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan 11 mata.
Justeru, pasukan juara Asia itu yang merupakan pemenang pingat gangsa tahun lalu tiada pilihan selain mencatat kemenangan ke atas Malaysia dalam apa yang disifatkan sebagai perlawanan hidup mati buat mereka, atau seandainya gagal berdepan kemungkinan untuk sekali lagi berpuas hati beraksi di penentuan tempat ketiga.
Pasukan negara juga mempunyai hutang lama untuk dilangsaikan apabila berdepan India, kerana pasukan itulah yang meranapkan impian Olimpik The Speedy Tigers menerusi kekalahan 2-3 di Separuh Akhir Liga Dunia di Antwerp, Belgium yang juga merupakan pertemuan terakhir kedua-dua pasukan.
Dalam pada itu, Australia yang hadir ke kejohanan ini dengan reputasi gah selaku juara lapan kali dan juga juara dunia, sudahpun mengesahkan kemaraan ke final setelah menang kesemua lima perlawanan dan tidak tercabar di tangga teratas dengan 15 mata.
Australia boleh menjadikan tugas Malaysia mencari tempat di perlawanan penentuan tempat ketiga lebih mudah, seandainya mereka meneruskan rentetan kemenangan dengan menewaskan Kanada dalam satu lagi aksi yang akan berlangsung lebih awal pada waktu petang.