pakistna-hockey

Oleh Muhammad Aiman

Malaysia bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Korea Selatan 1-1 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan saingan Trofi Juara-Juara Asia QNET 2016 yang berlangsung Khamis di Stadium Hoki Kuantan.

Satu mata yang diraih sudah memadai buat The Speedy Tigers menamatkan aksi kumpulan di tempat kedua dengan sepuluh mata dan menempah pertemuan menentang juara bertahan, Pakistan di separuh akhir.

Menentang Korea Selatan, jurulatih negara Stephen Van Huizen merehatkan beberapa pemain tonggak antaranya penjaga gol S.Kumar dan Fitri Saari, manakala Firhan Ashaari pula menjalani penggantungan perlawanan gara-gara mengasari Akashdeep Singh ketika kekalahan 1-2 kepada India.

Dengan sasaran ke separuh akhir sudah tercapai, Malaysia ibarat tidak mahu menekan gear tinggi pada perlawanan ini sebaliknya membenarkan skuad bimbingan Paul Lissek untuk menguasai perlawanan.

Setelah separuh masa pertama berlangsung hambar dengan kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan, Jeong Jun Woo membuka jaringan buat Korea Selatan menerusi jaringan padang pada minit ke-37.

Razie Rahim menyelamatkan Malaysia dari mengalami kekalahan kedua apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti empat minit sebelum tamat permainan.

“Kami menamatkan perlawanan kumpulan dengan satu pencapaian yang bagus, ia adalah aksi yang hebat dari para pemain, mereka tahu kita perlu seri atau menang perlawanan ini dan memberi tekanan kepada pasukan lawan.

“Ianya tidak mudah untuk bangkit selepas ketinggalan satu gol, terutamanya apabila berdepan India yang beraksi bertambah baik dari perlawanan demi perlawanan,” ujar Stephen.

Manakala Lissek pula berkata, “Kami menunjukkan aksi terbaik kami malam ini untuk mengikat Malaysia. Saya biasanya tidak gembira apabila seri, tetapi menentang Malaysia saya rasa ia satu keputusan yang boleh dibanggakan. Kami akan berdepan India selepas ini, jika kami menang ke atas mereka, peluang untuk kami muncul juara buat pertama kali tetap ada.”  

Dalam satu lagi perlawanan, Pakistan melakar kemenangan ketiga setelah beraksi garang menundukkan China 4-0 menerusi dua jaringan Abdul Khan dan satu masing-masing menerusi Ali Shan dan Muhammad Ifran Jr.

Perlawanan antara Malaysia menentang juara 2012 dan 2013 itu akan berlangsung pada Sabtu, manakala India yang menamatkan saingan kumpulan selaku juara akan berdepan Korea Selatan dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

- Advertisement -