FieldHockey

Oleh Muhammad Aiman

Malaysia mencatat keputusan seri 1-1 menentang New Zealand dalam aksi pembukaan Festival Hoki Antarabangsa yang berlangsung di Melbourne pada Rabu.

Pakar flik, Shahril Saabah meletakkan The Speedy Tiger mendahului 1-0 setelah pukulan sudut penaltinya pada minit ke-32 gagal diselamatkan penjaga gol Black Sticks, Richard Joyce.

Jared Panchia menafikan hasrat skuad bimbingan Stephen Van Huizen untuk melakar kemenangan setelah menolak masuk gol penyamaan dari jarak dekat pada minit ke-58.

Bagi Stephen, dia gembira dengan keputusan seri ini, “Dengan adanya terlalu ramai pemain muda di dalam pasukan, ianya sesuatu yang bagus buat mereka meskipun kita ada melakukan beberapa kesilapan sepanjang perlawanan. Ia sebahagian proses pembelajaran.  

“Perlawanan kedua kita menentang India sudah tentunya sukar. Kita sedang mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Liga Hoki Dunia Pusingan 2. Kita mengeluarkan Kumar di separuh masa kedua dan memasukkan Hafizuddin (Othman). Ini juga sebahagian perancangan kita untuk menyuntik keyakinan kepada penjaga gol muda kita.”

Perlawanan itu menyaksikan pemain Syed Mohamad Shafiq Syed Cholan, Amirol Aideed dan Muhammad Firdaus Omar meraih kap antarabangsa pertama mereka.

“Pasukan bermula dengan perlahan dan mengambil masa untuk mendapatkan rentak mereka. Pemain-pemain muda bermain dengan baik dan pastinya telah banyak belajar dari perlawanan ini. Syed Cholan, Firdaus, dan Aideed bermain baik pada tahap ini,” kata Stephen lagi.

Untuk rekod, ia adalah pertemuan ketujuh antara kedua-dua pasukan tahun ini di mana dalam enam pertemuan sebelum ini Malaysia menang sekali dan tewas dua kali, manakala tiga lagi pertemuan berkesudahan seri, termasuk dua kali mencatat seri 3-3 di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah.  

New Zealand, pasukan di ranking kelapan dunia, perlu menyalahkan diri sendiri di atas kegagalan menyempurnakan deretan peluang terhidang.

Mereka menguasai perlawanan dan mendapat lapan pukulan sudut penalti namun flik kurang menjadi serta keampuhan pertahanan Speedy Tigers menafikan usaha mereka mendapatkan jaringan.

Sementara itu, pasukan nombor satu dunia Australia bangkit daripada ketinggalan untuk membenam juara Asia, India 3-2.

Skuad Kookaburas menjaringkan dua gol menerusi Jeremy Haywood pada minit ke-24 dan 36 serta Trent Milton pada minit ke-43 manakala dua gol buat India dijaringkan kapten pasukan, Rupinder Pal Singh (m-21, 53).

Malaysia akan menentang India, manakala New Zealand akan berdepan Australia dalam perlawanan seterusnya, pada Khamis.

- Advertisement -