Skuad B-22 negara membuka tirai pusingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 2018 dengan cukup bergaya setelah menjinakkan pasukan B-22 Indonesia dengan jaringan 3-0 di Stadium Nasional Supachalasai sebentar tadi.
Biarpun bertandang ke Bangkok dengan persiapan serba pincang setelah enam pemain tonggak terpaksa digugurkan pada saat akhir gara-gara tidak mendapat pelepasan pasukan masing-masing, skuad bimbingan Dato’ Ong Kim Swee tetap tampil bertenaga, membuktikan mereka bukan calang-calang pasukan.
Malah barisan pemain yang diturunkan juga tampak lebih serasi dan berjaya menterjemahkan permainan lebih baik berbanding ketika menentang skuad B-22 Myanmar dalam aksi persahabatan pada minggu lalu.
Gol pendahuluan buat pasukan negara dijaringkan seawal minit ketiga menerusi percubaan penyerang muda Kedah, Syafiq Ahmad sebelum penyerang Pulau Pinang, Jafri Firdaus Chew menggandakan kelebihan pada minit ke-20.
Pemain Felcra FC, N.Thanabalan menanduk masuk menewaskan Satria Tama Hardiyanto pada minit ke-30 sekaligus memastikan pendahuluan 3-0 buat skuad negara di separuh masa pertama.
Indonesia memperkemaskan permainan dan tampil lebih agresif di separuh masa kedua namun jelas ianya sukar untuk menembusi pertahanan skuad negara dikemudi ketua pasukan, Adib Zainuddin selain dinafikan ketangkasan penjaga gol Ifwat Akmal Che Kassim yang cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya.
Peluang Indonesia untuk kembali dalam permainan menjadi semakin sukar apabila Aswani Mangkualam Bahar dilayangkan kad merah pada minit ke-70 oleh pengadil Jarred Gillet gara-gara kekasaran ke atas pemain sayap, Sean Eugene Selvaraj.
Kemenangan ini dilihat sebagai suntikan terbaik buat Kim Swee dan barisan pemainnya yang akan berdepan pula dengan tuan rumah, Thailand dalam aksi kedua pada Jumaat ini. – OLEH MUHAMMAD AIMAN