Skuad badminton negara menempah pertemuan separuh akhir menentang England dalam acara berpasukan campuran setelah menyingkirkan Scotland 3-0 di peringkat suku akhir pada Sabtu.
Walaupun bermula dengan sedikit cemas setelah beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tanpa diduga diheret beraksi tiga set pada aksi pertama, Malaysia yang merupakan penyandang pingat emas tiga kali berturut-turut tidak berdepan masalah mencatat kemenangan mudah.
Peng Soon-Liu Ying bangkit dari kekalahan set pertama untuk melakar kemenangan 14-21, 21-18, 21-15 ke atas Adam Hall-Julie MacPherson untuk menyumbang mata pertama.
Mata kedua dihadiahkan jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei yang menewaskan Kieran Merrilees 21-14, 21-16 manakala mata kemenangan hadir menerusi pasangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang menewaskan Alexander Dunn-Hall 21-10, 21-15.
Dalam pada itu, England pula mara ke separuh akhir setelah menundukkan Kanada 3-0.
Walaupun Malaysia dilabel pilihan untuk meneruskan kemaraan ke final, pertemuan menentang England pastinya menjanjikan aksi sengit apatah lagi pasukan itu adalah finalis empat kali berturut-turut dan pemenang pingat emas pada tahun 2002.
Perlawanan yang dijangka menjadi tumpuan adalah antara Chong Wei menentang Rajiv Ouseph dan V Shem-Wee Kiong menentang pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2016 Marcus Ellis-Chris Langridge.
Satu lagi aksi separuh akhir akan menyaksikan pertemuan di antara India menentang Singapura.
India layak setelah menewaskan Mauritius 3-0 manakala Singapura pula menewaskan tuan rumah Australia juga dengan keputusan 3-0. – OLEH MUHAMMAD AIMAN