squash-crap

Oleh Muhammad Aiman

Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan Kejohanan Skuash Berpasukan Wanita Dunia di Paris dengan rekod cemerlang, apabila melakar kemenangan ketiga dengan menewaskan Austria untuk muncul juara Kumpulan C.

Setelah mengesahkan tiket ke suku akhir lebih awal hasil dua kemenangan 3-0 ke atas Belanda dan Australia, skuad negara turun tanpa tekanan dan langsung tidak bermasalah menewaskan pasukan bukan pilihan itu juga dengan 3-0.

Juara kebangsaan dua kali, Delia Arnold menghadiahkan mata pertama setelah menang 3-0 (11-3, 11-3, 11-8) ke atas Sabrina Rehman dan Dato’ Nicol David memastikan mata kemenangan menerusi kemenangan 3-0 (11-3, 11-2, dan 11-1) ke atas Sandra Polak.

Dengan pemain remaja, S.Sivasangari yang beraksi dua perlawanan awal direhatkan, Rachel Arnold membuat penampilan pertamanya di kejohanan dunia dan tampil meyakinkan untuk melakar kemenangan 3-0 (11-7, 11-3, 11-6) ke atas Judith Van Der Merwe dan mengesahkan mata ketiga.

Malaysia yang merupakan finalis dua tahun lalu dan juga pilihan ketiga untuk edisi kali ini akan bertemu pilihan keempat Hong Kong yang muncul naib juara Kumpulan D setelah tewas kepada Perancis, dalam aksi suku akhir pada lewat malam Khamis.

Sementara itu, pilihan utama Mesir muncul juara Kumpulan A setelah menundukkan Mexico 3-0, manakala New Zealand muncul naib juara setelah menewaskan India 2-1.

Juara bertahan England layak selaku juara Kumpulan B setelah menewaskan Wales 2-1 manakala pasangan adik beradik Amanda dan Sabrina Sobhy membantu Amerika Syarikat bangkit menewaskan Kanada 2-1 dan mengesahkan tempat di suku akhir.

Jadual suku akhir :

Mesir lwn Amerika Syarikat

Perancis lwn Australia

Malaysia lwn Hong Kong

England lwn New Zealand

- Advertisement -