Sivasangari

Barisan pemain muda negara mencipta kejutan apabila melangkah ke aksi final berpasukan wanita Kejohanan Skuash Remaja Dunia di Tauranga, New Zealand setelah menewaskan juara lima kali, England 2-0 di peringkat separuh akhir yang berlangsung Jumaat.

Pemain berusia 15 tahun, Aifa Azman (gambar utama) menghadiahkan mata pertama buat Malaysia yang merupakan pilihan kedua kejohanan, sebelum pemain remaja terbaik negara ketika ini S.Sivasangari mengesahkan kemenangan.

Dalam aksi pertama, Aifa dikerah bekerja keras untuk mengetepikan Jasmine Hutton dalam pertarungan sengit yang berlangsung empat set.

Juara Terbuka Remaja British sebanyak dua kali itu bangkit dari kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 3-1 (6-11, 12-10, 12-10, 11-6) ke atas lawan yang berusia 18 tahun itu.

Perlawanan kedua tampak lebih mudah buat pasukan negara apabila Sivasangari yang berada di ranking ke-59 dunia tidak berdepan masalah besar untuk menundukkan Lucy Turmel dengan keputusan 3-0 (11-8, 11-8, 11-4).

Ini akan menjadi penampilan final ketiga buat Malaysia di Kejohanan Skuash Remaja Dunia setelah kali terakhir melakukannya pada 2007 dan lawan yang menanti mereka dalam aksi final adalah pilihan utama kejohanan, Mesir.

Mesir layak ke final setelah mencatat kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong dalam masa hanya 36 minit dalam satu lagi aksi separuh akhir. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -