muhd-nur-aiman-khairuddin

Oleh Muhammad Aiman

Muhd Nur Aiman Khairuddin dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman melengkapkan penampilan terbaik Malaysia di Kejohanan Tenpin Boling Komanwel setelah menyapu bersih acara Masters di Johannesburg, Afrika Selatan.

Siti Safiyah yang turun sebagai pemain pilihan menghadiahkan pasukan negara permulaan cemerlang setelah mengatasi Bec Whiting dari Australia dengan keputusan 257-235 dalam aksi final Masters wanita di Northcliff Bowl untuk membolehkan Malaysia menyamai pencapaian empat emas di kejohanan itu.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia sebelum ini adalah meraih empat emas, dua perak dan dua gangsa di Cyprus, pada 2005. 

“Saya cukup gembira kerana ini adalah kali pertama saya memenangi pingat emas acara Masters dalam kejohanan utama,” ujar Siti Safiyah yang meraih emas ketiga sebagai tambahan kepada emas acara berpasukan dan beregu.

Kejayaan Siti Safiyah dituruti pula Nur Aiman, pemenang acara perseorangan pada hari pembukaan Isnin lalu memastikan rekod berkenaan dipecahkan – pemain berusia 28 tahun itu meneruskan prestasi cemerlangnya apabila mendahului sejak dari awal untuk menewaskan wakil tuan rumah, Quintin Haywood 268-244 dalam acara final Masters lelaki.

“Setelah melihat aksi penuh bersemangat dari Safiyah untuk menjuarai kategori wanita, ia memberikan saya suntikan untuk melakukan yang terbaik untuk turut meraih emas,” ujar Nur Aiman yang turut mengenggam emas ketiga peribadinya di kejohanan itu.

Malaysia muncul juara keseluruhan, dengan kutipan lima emas, tiga perak dan satu gangsa disusuli England di tempat kedua dengan satu emas dan tiga gangsa manakala Afrika Selatan di tempat ketiga dengan satu emas dan dua perak. 

- Advertisement -