Oleh Muhammad Aiman
Pasukan hoki kebangsaan tewas 1-6 kepada India pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-25 namun kekalahan itu tetap menyaksikan Malaysia layak beraksi di perlawanan penentuan tempat ketiga yang akan berlangsung pada Sabtu.
Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan kekal di tangga keempat dengan lapan mata, tetapi perlu berterima kasih kepada Australia yang terdahulu melebarkan rekod kemenangan mereka dengan menundukkan Kanada dalam satu lagi perlawanan.
Kemenangan buat India pula menyaksikan pasukan juara Asia itu mengutip 12 mata, satu mata mengatasi juara New Zealand sekaligus layak ke final untuk berdepan Australia manakala The Kiwis yang gagal mempertahankan kejuaraan akan berdepan Malaysia dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh sebentar tadi, Malaysia gagal menterjemahkan aksi garang seperti yang diharapkan sebaliknya India yang wajib menang perlawanan ini tampil dengan karakter berbeza berbanding lima perlawanan terdahulu.
Separuh masa pertama menyaksikan India mendominasi perlawanan sepenuhnya tanpa membenarkan skuad bimbingan Stephen Van Huizen untuk mengawal bola mahupun melancarkan gerakan berbahaya dan mendahului 4-0 menerusi jaringan Nikkin Thimmaiah (m-3), Harjeet Singh (m-7), Ramandeep Singh (m-25) dan Danish Mujtaba (m-27).
Ramandeep kemudiannya menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-39 sebelum Shahril Saabah mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-46. Hasrat Malaysia untuk bangkit memberi tentangan bagaimanapun berkubur apabila Talwinder Singh menjaringkan gol ketiganya di kejohanan ini untuk melengkapkan kemenangan 6-1 buat India.
Sementara itu, Australia yang sudahpun layak ke perlawanan akhir tidak sedikitpun menunjukkan tanda-tanda mahu memperlahankan momentum mereka apabila menjadikan Kanada mangsa terbaru, dengan mencatat kemenangan selesa 3-0.
Sebelum perlawanan, Kanada masih mempunyai peluang untuk memintas Malaysia seandainya mereka berjaya mengejutkan pasukan juara dunia itu namun The kookaburras nyata terlalu unggul dan merakamkan kemenangan menerusi jaringan Mark Knowles, Blake Hovets dan Flynn Ogilvie.
Kekalahan bermakna Kanada akan berdepan Pakistan dalam perlawanan penentuan tempat kelima. Pakistan tidak bermasalah untuk menundukkan Jepun 4-1 pada aksi terakhir kumpulan dan memastikan negara matahari terbit itu mengakhiri kejohanan di tangga tercorot.
Kesemua perlawanan penentuan dan perlawanan akhir akan berlangsung pada Sabtu, 16 April.