Malaysia B-22 mengetepikan segala pertikaian mengenai kredibiliti mereka apabila layak ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di China tahun hadapan secara automatik selaku juara Kumpulan H.
Kemaraan skuad kendalian Dato’ Ong Kim Swee itu turut dibantu Indonesia B-22 yang memainkan peranan penting dengan mengikat pasukan pilihan, Thailand B-22 seri tanpa jaringan dalam aksi terakhir di Stadium Nasional Suphachalasai, Bangkok pada Ahad.
Keputusan itu menyaksikan pasukan negara berkesudahan di tangga teratas Kumpulan H dengan enam mata hasil dua kemenangan, manakala Thailand bimbingan Worawut Srimaka di tempat kedua dengan lima mata.
Terdahulu dalam aksi berlangsung petang, Malaysia mengakhiri cabaran pusingan kelayakan dengan kemenangan 2-0 ke atas Mongolia B-22.
Kim Swee membuat lima pertukaran dalam kesebelasan utama pemain yang tewas kepada Thailand pada Jumaat lalu termasuk menyenaraikan semula N.Thanabalan yang pulih dari kecederaan.
Setelah terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama, Thanabalan menceriakan kem negara apabila membuka jaringan enam minit selepas babak kedua bersambung setelah menyempurnakan umpanan Danial Asyraff Abdullah.
Mongolia kemudiannya beraksi dengan 10 pemain setelah Uuganbat Bat Erdene dilayangkan kad mereka sebelum Malaysia mengesahkan tiga mata menerusi jaringan cantik Syazwan Andik Ishak pada minit ke-87.
“Saya akui kita agak goyah pada hari ini, saya terpaksa lakukan beberapa pertukaran kerana kita telah hadapi dua perlawanan dalam tempoh empat hari dan saya perlukan pemain yang benar-benar cergas untuk aksi ini.
“Begitupun pemain berikan semampu yang mereka boleh dan kita menutup cabaran dengan kemenangan, itu misi utama kita di sini kerana kita sendiri sedar layak atau tidak bergantung kepada keputusan perlawanan lain,” kata Kim Swee.
Pusingan akhir akan berlangsung dari 9-27 Januari 2018 di beberapa bandar-bandar utama di China. – OLEH MUHAMMAD AIMAN