Oleh Muhammad Aiman
Malaysia mengesahkan kemaraan ke suku akhir Kejohanan Skuash Berpasukan Dunia Wanita di Paris setelah melakar kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan C dengan menewaskan juara sembilan kali, Australia 3-0 lewat malam Selasa.
Kemenangan ke atas pasukan pilihan keenam itu hampir pasti menyaksikan Malaysia menamatkan saingan kumpulan selaku juara dengan masih berbaki satu perlawanan menentang Austria untuk dilalui.
Sebelum ini, skuad negara turut menang 3-0 ke atas Belanda pada perlawanan pembukaan.
Turun menentang Australia, pemain remaja S.Sivasangari sekali lagi menghadiahkan mata pertama negara dengan mengetepikan tentangan sengit pemain nombor 44 dunia, Christine Nunn 3-1 (12-10, 9-11, 15-13, 11-8).
Juara kebangsaan dua kali, Delia Arnold memastikan mata kemenangan Malaysia dengan mencatat kemenangan 3-0 (11-9, 11-9, 11-7) ke atas juara dunia 2005, Rachael Grinham ā ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut Delia ke atas pemain itu.
Ratu skuash negara, Datoā Nicol David yang turun dalam aksi ketiga, nyata terlalu unggul buat Donna Urquhart dengan juara dunia lapan kali itu tidak berdepan masalah besar menang 11-8, 11-4, 11-5 untuk melengkapkan kemenangan 3-0 Malaysia dan mengesahkan tempat di suku akhir.
Pengurus pasukan, S.Maniam ketika dihubungi Sports247 berkata, āTekanan di bahu Sivasangari untuk berikan mata pertama dan dia melakukannya dengan begitu cemerlang, permainannya cukup matang dan langsung tiada rasa gementar. Manakala Delia pula cukup agresif berdepan antara lawan paling senior di kejohanan ini. Keseluruhannya ia satu aksi yang cukup baik dari pasukan kita dengan tidak membenarkan Australia mengutip mata.ā
Malaysia akan melengkapkan aksi kumpulan dengan berdepan Austria yang mengalami kekalahan kedua setelah tewas 0-3 kepada Belanda, pada lewat malam Rabu.