Lapan belas tahun berlalu, badi kekalahan kepada Jepun masih menghantui Malaysia apabila pasukan negara terus tewas kepada pasukan dari negara matahari terbit itu 1-4 dalam Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menduduki tempat kedua manakala Jepun menerajui Kumpulan D,

Pemenang pingat gangsa beregu lelaki Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih kemenangan pertama Malaysia apabila pasangan itu menundukkan pilihan ke-16 dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 22-20, 14-21, 21-16 , dalam perlawanan sengit yang berlarutan sehingga 67 minit.

Dalam perlawanan berikutnya pemain perseorangan wanita negara S. Kisona tumpas buat kali kedua dalam kejohanan, kali ini di tangan pemain pilihan kelima dunia Akane Yamaguchi menerusi straight set, 14-21, 14-21.

Perlawanan hebat yang dinantikan ramai peminat badminton menyusul kemudiannya apabila pemain nombor satu dunia Kento Momota berhadapan dengan perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, yang pernah menumpaskan pemain dari Jepun itu dalam saingan peringkat suku akhir kejohanan All England 2021.

Selepas ketinggalan enam mata di set pertama, Momota terus beraksi dengan baik untuk menundukkan Zii Jia dengan 21-18, dan disusuli dengan kemenangan di set kedua dengan 21-10.

Dalam perlawanan berikutnya Chiharu Shida dan pasangannya Nami Matsuyama menewaskan beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah, 21-16, 21-17, walaupun Shida dikatakan mengalami kecederaan di buku lali kiri.

Pasangan beregu campuran pilihan kelima dunia Yuta Watanabe-Arisa Higashino melengkapkan kemenangan Jepun apabila mereka menumpaskan pasangan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dengan 21-16, 21-9.

Malaysia sudahpun mengesahkan tiket ke suku akhir selepas menang 3-2 ke atas England, dan Mesir, 5-0

 Sementara itu susulan undian suku akhir sebentar tadi, menyaksikan Malaysia dijadual bertemu dengan Indonesia dalam saingan berikutnya, hari ini jam 9 malam waktu Malaysia

Juara bertahan China akan menentang jaguh Eropah, Denmark, manakala Korea Selatan pula akan bertemu dengan Thailand dalam sesi pertama pukul 3 pagi waktu Malaysia.

 

- Advertisement -