Pasukan snuker dan billiard Malaysia yang akan beraksi di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 optimis dapat mempertahankan dua pingat emas yang dimenangi di Singapura dua tahun lalu.
Pengurus pasukan, Tunku Nazroff Tunku Mokhsin melaungkan keyakinan itu meskipun mengakui cabaran kali ini sedikit berliku khususnya bagi acara perseorangan.
“Saya merasakan perlawanan pertama yang sedikit sukar buat kedua-dua pemain kita. Jika kita dapat lepasi halangan pertama saya yakin perlawanan-perlawanan seterusnya akan menjadi lebih mudah.
“Manakala bagi acara doubles, saya berpendapat kita sepatutnya tiada masalah lepasi halangan awal,” kata Tunku Nazroff selepas majlis undian yang berlangsung di Majlis Olimpik Malaysia pada Rabu (16 Ogos).
Undian itu menyaksikan pemain snuker negara Thor Chuan Leong yang juga penyandang pingat emas acara individu diundi menentang pemain berpengalaman dari Thailand, Phaitoon Phonbun di pusingan pertama.
Untuk rekod, Phaitoon adalah pemenang dua pingat emas di temasya Sukan Sea Korat 2007.
Manakala seorang lagi pemain negara Moh Keen Ho akan memulakan cabaran dengan menentang finalis 2015, Htet Ko dari Myanmar.
Bagi acara doubles pula, gandingan Chuan Leong dan Keen Ho akan memulakan misi mempertahan emas dengan menentang gandingan Laos, Phoutthabandit Daopachan-Sakbieng Siththideth di pusingan pertama.
Ketika di Singapura 2015, Malaysia memenangi kedua-dua emas snuker (individu dan doubles).