Oleh Ku Mohd Lufti
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail melihat, andai mahu menjadi juara keseluruhan bagi temasya Sukan SEA tahun depan, Malaysia perlu meraih lebih 100 pingat emas.
Ia berdasarkan keputusan yang pernah dilakaroleh kontinjen Malaysia ketika di temasya Sukan SEA pada 2001.
“Ini dibuktikan pada Sukan SEA 2001 (semasa Malaysia menjadi tuan rumah) dengan mengumpul 111 pingat emas. Untuk tahun depan, kita perlu mencapai tahap tersebut.
“Saya berharap dengan semangat yang ada, kontinjen negara akan berjuang untuk mencapai matlamat itu,” kata Datuk Ahmad Shapawi Ismail selepas ,erasmikan majlis penutup Perhimpunan Atlet Kita Juara Fasa II di sebuah hotel di ibu negara.
Tambah Datuk Ahmad lagi, sasaran pingat emas untuk Sukan SEA tahun depan masih belum dimuktamadkan.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-29 dari 19 hingga 31 Ogos tahun depan, manakala Sukan Para ASEAN pada 17 hingga 23 Sept, 2017.
Penganjuran temasya sukan dwitahunan itu adalah yang keenam buat Malaysia selepas 1965, 1971, 1977, 1989 dan 2001.
Perhimpunan yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan 517 atlet, 84 jurulatih dan 49 pengurus pasukan yang bertujuan memastikan mereka fokus terhadap misi untuk muncul selaku juara keseluruhan pada edisi ke-29 itu nanti.
“Seperti mana amanat tegas yang dilaungkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, matlamat jelas untuk kita semua ialah mahu menjadi juara keseluruhan Sukan SEA.
“Program-program dilaksanakan sepanjang perhimpunan ini menampakkan semangat kekitaan atau semangat kontinjen yang telah dapat kita terapkan,” katanya bahawa untuk mencapai matlamat muncul juara keseluruhan bukanlah sesuatu yang mudah.
“Ia menuntut pengorbanan dan memerlukan fokus tidak berbelah bagi daripada semua pihak,” katanya lagi.
Beliau juga mahu setiap atlet dan pegawai yang menyertai Perhimpunan Atlet Kita Juara Fasa II, meneruskan momentum positif yang diperoleh di situ dalam setiap aktiviti sehingga menjelangnya Sukan SEA ke-29 pada Ogos tahun depan.