Kem negara di kejohanan badminton Terbuka Austria 2021 berakhir dengan noktah gembira apabila pasangan bergu campuran, Choong Hon Jian-Toh Ee Wei serta bergu lelaki, Wan Ariff Wan Junaidi- Muhd Haikal Nazri menaiki podium selaku juara.

Hon Jian-Ee Wei mengejutkan pilihan pertama dari Perancis William Villeger-Sharone Bauer sekaligus mengesahkan status selaku juara Terbuka Austria 2021.

Kemenangan itu bagaimana pun tidak hadir dengan mudah. Permainan yang agak hambar dipamer Hon Jian-Ee Wei apabila banyak melakukan kesilapan mudah sekaligus memberikan kemenangan 21-16 kepada lawan.

Namun, Hon Jian dan Ee Wei yang muncul juara Antarabangsa Slovenia minggu lalu bangkit dengan aksi yang cukup mantap untuk menewaskan William-Sharone 21-9 sekaligus mengheret permainan ke set penentuan.

Hon Jian yang tampak semakin merasai kesakitan di bahagian otot perut memberi ruang kepada lawan untuk mengasaknya sekaligus mendahului 11-6 pada satu ketika.

Namun Ee Wei dan Hon Jian tenang mengawal gelanggang untuk merapatkan jurang sebelum menutup set ketiga dengan kemenangan 21-19 untuk mengesahkan kejuaraan.

Terdahulu aksi disebelah pagi, gandingan Choong Hon Jian-Toh Ee Wei menewaskan bergu muda, Beh Chun Meng-Cheng Su Hui dalam aksi tiga set 21-16, 19-21, 21-13 diperingkat separuh akhir untuk mara ke final.

Sementara itu, pasangan bergu lelaki Wan Ariff Wan Junaidi-Muhd Haikal Nazri turut mengikuti jejak Hon Jian-Ee Wei apabila muncul juara.

Ariff-Haikal mara ke final selepas menundukkan pasangan Denmark, Mads Pieler Kolding-Frederik Søgaard 21-13, 22-20 di peringkat separuh akhir, turun menentang pilihan kelima dari Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar untuk penentuan kejuaraan nyata mempamer aksi diluar jangka.

Meskipun turun dengan status under dog, Ariff dan Haikal memberi tekanan ke atas Lucas dan Ronan apabila menang di set pertama, 21-17.

Lucas-Ronan mempamer permainan yang lebih aggresif untuk memerangkap Ariff-Haikal dan mendahului 11-8 pada satu ketika.

Namun Ariff dan Haikal menggunakan rali panjang untuk memerangkap lawan sekaligus menang 21-15 untuk memberikan kejuaraan sulung tahun ini.

Kemenangan ini juga ibarat membalas dendam selepas kecewa di kejohanan Antarabangsa Slovenia dimana Ariff dan Haikal hanya beraksi sehingga peringkat suku akhir.

Satu lagi wakil negara, Anna Cheong Ching Yik-Yap Cheng Wen bagaimanapun sekadar menaiki podium selaku naib juara selepas tewas kepada pasangan Indonesia Ni Ketut Mahadewi Istarani-Serena Kani straight set 11-21, 16-21

 

 

- Advertisement -