Malaysia meraih pingat pertama di Sukan Asia 2018 menerusi taekwondo acara poomsae wanita individu.
Yap Khim Wen melangkah ke pusingan separuh akhir selepas mengatasi wakil dari negara China, Yi Juhan diperungkat suku akhir.
Namun, berdepan lawannya dari Iran, Salahshouri Marjan, Khim Wen nyata diberi tentangan sengit sekaligus menyaksikan kedua dua peserta mempamer gerakan yang padu dan tangkas untuk meraih mata tertinggi.
Tuah bagaimanapun tidak memihak atlet negara apabila meraih 8.300 mata, kurang 0.1 mata berbanding Salahshouri sekaligus gagal melangkah ke final.
Namun atlet berusia 23 tahun ini dinobat selaku pemenang pingat gangsa bersama sama seorang lagi semifinalis dari Korea Selatan, Yun Jihye.
Kejayaan yang diraih Khim Wen sekaligus menamatkan kemarau pingat selama 16 tahun kem taekwondo negara di pentas Sukan Asia sejak gandingan Lee Pei Fen/Lee Wan Yuen merangkul gangsa dalam acara kyorugi wanita pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan.