Malaysia mengesahkan slot ke separuh akhir bolasepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan penuh bergaya setelah menundukkan Myanmar 3-1 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Shah Alam pada Isnin (21 Ogos).
Turun menentang Myanmar yang sudahpun lebih awal layak ke separuh akhir hasil tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini, Dato’ Ong Kim Swee membuat tiga pertukaran pada barisan pemain yang menewaskan Singapura minggu lalu termasuk mengembalikan N.Thanabalan dan Nor Azam Abdul Azih ke dalam kesebelasan utama.
Thanabalan membuktikan Kim Swee tidak silap percaturan apabila menjaringkan dua gol manakala satu lagi jaringan disumbangkan oleh Safawi Rasid sekaligus memastikan kemenangan ketiga dari tiga perlawanan buat skuad negara.
Myanmar bagaimanapun masih kekal di kedudukan pertama manakala Malaysia di tangga kedua – masing-masing dipisahkan menerusi beza jaringan namun Malaysia masih ada satu lagi perlawanan menentang Laos pada Rabu ini.
Setelah permulaan yang berhati-hati oleh kedua-dua di babak awal permainan, percubaan bahaya pertama hadir pada minit ke-29 menerusi sepakan percuma Irfan Zakaria yang ditepis keluar penjaga gol Myanmar, Sann Sat Naing.
Minit ke-33, Malaysia membuka tirai jaringan menerusi Thanabalan yang menampan masuk hantaran Matthew Davies sekaligus menggamatkan suasana stadium yang dibanjiri hampir 80,000 penyokong.
Belumpun sempat Myanmar bangkit memperkemas pertahanan, gawang mereka bergegar lagi dua minit kemudian setelah Safawi menanduk masuk hantaran lintang S.Kumaahran, menewaskan Sat Naing dan kedudukan kekal 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Malaysia terus mengasak dan berpeluang menambah jaringan namun dua percubaan Kumaahran dan Matthew pada masing-masing pada minit ke-62 diselamatkan dengan cemerlang oleh Sat Naing.
Thanabalan menjaringkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-82 setelah menanduk masuk hantaran pemain gantian, Jafri Firdaus Chew sebelum Myanmar mendapat gol saguhati dua minit kemudian menerusi Than Paing.
Jurulatih Myanmar, Gerd Zeise :
Sudah tentunya saya kecewa dengan kekalahan ini, kami tidak menunjukkan permainan agresif sepertimana tiga perlawanan lalu. Kami bermain dengan teruk di separuh masa pertama, kerap kehilangan bola dan dihukum. Saya harapkan sesuatu yang lebih dari pemain. Hanya selepas ketinggalan tiga gol, kami bangkit mendapatkan gol dan mencipta peluang demi peluang tetapi ia sudah terlewat, apapun saya akui kami tewas kepada Malaysia yang bermain lebih baik hari ini.
Jurulatih Malaysia, Dato’ Ong Kim Swee :
Kita bergelut untuk menang dalam dua perlawanan sebelum ini tetapi hari ini kita tampil lebih baik. Myanmar berikan tentangan yang cukup bagus, tetapi kita berjaya saingi mereka dan pamer aksi lebih baik cuma saya berpendapat gol buat mereka itu boleh dielakkan. Ianya bukan berpunca dari gerakan yang mereka cipta tetapi sekali lagi pertahanan kita yang hadiahkan. Kita sudah berada di separuh akhir tetapi masih ada satu perlawanan dan kita akan turun dengan misi untuk mengutip tiga lagi mata.
– OLEH MUHAMMAD AIMAN
Kumpulan A
MASA PENUH:
Malaysia 3-1 Myanmar
N.Thanabalan (33′, 82′)
Safawi Rasid (35′)
Than Paing (85′)
Senarai Pemain Malaysia
Haziq Nadzli (PG), Matthew Davies, Adib Zainudin (K), Safawi Rasid, Muhamad Nor Azam Abdul Azih, Adam Nor Azlin, S.Kumaahran, N.Thanabalan, Syamer Kutty Abba, Syazwan Andik Ishak, Irfan Zakaria
Senarai Pemain Myanmar
Sann Sat Naing (PG), Nan Wai Min, Htike Htike Aung, Thiha Htet Aung, Nanda Kyaw, Ye Yint Tun, Aung Thu, Si Thu Aung (K), Mg Mg Lwin, Yan Naing Oo, Aung Kaung Mann