Sebanyak 36 pingat emas, 35 perak dan 75 gangsa menjadi buruan kontinjen Malaysia di temasya Sukan SEA Hanoi yang dijadualkan bermula 12 hingga 23 Mei ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sasaran 146 pingat itu ditetapkan berdasarkan prestasi semasa 584 atlet negara ke temasya berkenaan selepas berbincangan dengan semua pemegang taruh yang terlibat.

Beliau berkata sukan terjun dan olahraga dijangka menjadi lubuk emas kontinjen negara di Hanoi dengan masing-masing diberi kepercayaan untuk menyumbang lebih lima pingat.

“Berdasarkan prestasi semasa, bonus pingat emas mungkin dapat diperoleh menerusi sukan taekwondo, wusyu, petanque, pencak silat, bina badan dan beberapa sukan lagi. Kita dapati lebih 58 peratus adalah atlet yang bakal bertanding buat kali pertama di Sukan SEA.

“Kita perlu faham bahawa mereka memerlukan pendedahan di peringkat antarabangsa untuk mencabar diri sendiri bagi mendapatkan pingat. Kita ada agenda lebih besar untuk membawa momentum ini ke Sukan Komanwel, Asia dan Olimpik selepas itu, dengan kita masih menanti pingat emas pertama,katanya.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Ahmad Faizal turut mengakui bahawa dengan sasaran 36 emas, kontinjen negara tidak mampu bersaing untuk meraih tiga tempat teratas secara keseluruhan di temasya itu.

Ditanya jumlah sasaran kali ini yang berkurangan berbanding pencapaian beberapa edisi lepas, beliau berkata ia berikutan 72 pingat iaitu 25 emas, 18 perak dan 29 gangsa daripada 27 jenis sukan dan 68 acara yang dimenangi atlet negara pada edisi 2019 di Filipina tidak dipertanding pada temasya kali ini.

“Antara pingat yang hilang adalah dari sukan skuasy dan boling padang yang masing-masing raih empat emas, skating (2 emas), gimrama (3 emas acara individu), break dance (1 emas) dan beberapa sukan lain.

“Selain itu, sebanyak 22 jenis sukan seperti pelayaran, ekuestrian, hoki, ragbi dan luncur air yang biasa menyumbang pingat di Sukan SEA juga tidak dipertanding kali ini, yang menyebabkan sasaran pingat berkurangan,”katanya.</p>

Beliau berkata selain itu, kekangan susulan pandemik COVID-19 yang menyaksikan banyak kejohanan di seluruh dunia dibatal atau ditangguhkan menyebabkan Malaysia tidak dapat menetapkan sasaran tinggi dan angka 36 emas ini dilihat sebagai realistik.

Namun Ahmad Faizal berkata apa pun kekangan dan kekurangan yang dihadapi, beliau yakin para atlet negara akan berjuang habis-habisan bagi memenangi pingat emas untuk negara.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah penyertaan di temasya Sukan SEA sejak edisi sulung 1959 Bangkok, Thailand adalah pencapaian 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa untuk muncul juara edisi 2017 di Kuala Lumpur.

 

- Advertisement -