Oleh Ku Mohd Lufti
Skuad basikal bukit (MTB) Malaysia akan menyertai Kejohanan Lumba Basikal Bukit Asia 2016 (ACC MTB 2016) di Chainat, Thailand bermula dari 4 hingga 8 Mei ini dengan sasaran pencapaian menduduki tempat tiga teratas di kalangan peserta negara Asean.
Pengerusi Jawatankuasa MTB Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia,PKBM, Omar Saad menjelaskan, Malaysia menurunkan kombinasi pasukan negeri dan kelab, Cylo Motion bagi merealisasikan impian negara membawa pulang sekurang-kurangnya satu medal di ACC MTB 2016 nanti.
“Kami senaraikan dua dari Sabah yang juga juara MTB kebangsaan 2015, Frisco Daniel dan Jr Stanley Jalip untuk bersaing di dalam kategori elit lelaki.
“Saya percaya Frisco bersemangat tinggi untuk bersaing dengan pelumba pelumba dari negara Asean khususnya Thailand, Filipina dan Indonesia,” katanya menerusi kenyataan media.
Omar menjelaskan Jr Stanley adalah pelumba paling senior dalam kem Malaysia di ACC MTB 2016 dan pencapaian terbaiknya menduduki tempat ke-6 acara downhill di Kejohanan Lumba Basikal Bukit Asia 2009 (ACC MTB 2009) di Melaka.
Dua lagi slot elit lelaki dilengkapkan pelumba Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Muhammad Khuzairi Abdul Bakar dan Muhammad Suhaimi Ghani dari Cylo Motion.
Bagi acara elit wanita pula, cabaran akan dipikul Noor Fadilah Saiedin dan pelumba Cyclo Motion tersebut berazam untuk menebuskan kehampaan di Kejohanan Lumba Basikal Bukit Asia 2015 (ACC MTB 2015).
Pada ACC MTB 2015, Fadilah sekadar menduduki tempat ke-18 daripada 20 pelumba yang menyertai acara cross-country (merentas desa).
Manakala cabaran kategori junior lelaki dan wanita akan dikibarkan oleh Abdul Syazwan Abdul Rahman serta Siti Nur Adiba Akma Mohd Fuad.