Keyakinan cukup tinggi di kem pasukan negara menjelang pertembungan suku akhir menentang Korea Selatan di Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 tahun pada Sabtu.
Selepas menyingkirkan Arab Saudi dari saingan, Malaysia mengidam menjadikan Korea Selatan pula sebagai mangsa sekaligus meneruskan langkahan giant killer namun pengendali Dato’ Ong Kim Swee berkata ia bukanlah bermakna pemainnya sudah mula mendabik dada dan berada di zon selesa.
“Semua tahu kredibiliti Korea, jadi kita akan turun sebagai underdog. Lagipun mereka sudah berpengalaman beraksi di pentas yang besar dan kompetitif jadi harapan yang boleh saya letakkan adalah mereka dapat memberi tentangan dan mengimbangi kekuatan Korea.
“Kita datang sini untuk menimba pengalaman baru dan dalam masa sama cuba untuk melakar kejutan. Tidak mustahil ianya boleh dilakukan tetapi pemain perlu mengerah kudrat sehabis mungkin dan kekal fokus sepanjang 90 minit permainan dan kita juga perlu bersedia dengan kemungkinan perlawanan berlanjutan ke masa tambahan atau penalti,” kata Kim Swee.
Kim Swee bagaimanapun berdepan kebimbangan tidak dapat menurunkan skuad terbaik memandangkan beberapa pemain utama seperti Dominic Tan, Syazwan Andik Ishak, Matthew Davies dan Irfan Zakaria masih perlu dinilai tahap kecergasan mereka selepas mengalami kecederaan ringan manakala Syahmi Safari pula mengalami demam.
Sementara itu, Safawi Rasid yang merupakan penjaring dua gol negara di kejohanan ini berazam mahu melebarkan jumlah jaringannya namun menegaskan bukan gemilang peribadi yang menjadi buruannya.
Pemain yang menjaringkan gol ketika menentang Iraq dan Jordan itu berkata, “Ketika menentang Arab Saudi saya lebih banyak membantu pertahanan setelah Matthew mengalami kecederaan pada minit ke-25. Jadi saya harap menentang Korea saya boleh kembali bergerak di hadapan dan memburu jaringan namun sesiapa sahaja boleh menjaringkan gol asalkan pasukan mencatat kemenangan.”
Jika semuanya lancar tanpa sebarang tambahan dalam senarai kecederaan, Safawi dijangka akan digandingkan dengan Jafri Firdaus Chew dan Akhyar Rashid di barisan serangan negara. Selain mereka bertiga, penyerang lain dalam skuad adalah N.Thanabalan, R.Kogileswaran dan Hadi Fayyadh Abdul Razak.OLEH MUHD AIMAN