Selepas menyaksikan pasukan bimbingannya tersingkir awal dari Kejuaraan AFC Bawah 19 Tahun di Indonesia, Bojan Hodak mendedahkan bahawa Malaysia terlalu mentah pengalaman untuk memberi cabaran di kejohanan peringkat Asia.
Malaysia menamatkan cabaran di tangga tercorot Kumpulan D tanpa kemenangan berikutan kekalahan 0-2 kepada China dalam aksi terakhir di Bogor dan kenyataan Bojan selepas itu menunjukkan bahawa inilah realiti sebenar bolasepak kita ketika ini.
Menurut pengendali dari Croatia itu, āIa adalah satu perlawanan yang sukar dan pemain telah mencuba sebaik mungkin, tetapi kesimpulan yang boleh dibuat adalah mereka masih terlalu naif. Kita mungkin merupakan juara Asia Tenggara tetapi ia adalah sesuatu yang berbeza apabila bersaing dengan pasukan terbaik dari Asia dan kekurangan pengalaman itu terserlah dengan begitu nyata.
āKita gagal untuk menyudahkan peluang yang sukar untuk diperoleh dan kemudiannya memberikan lawan gol yang mudah, pada peringkat ini kesilapan sebegini tidak lagi boleh dilakukan. Kita bukan sedang belajar bermain bola. Kita tidak datang ke sini untuk pendedahan sebaliknya mahu memberikan cabaran.ā
Tambahnya lagi, āApa yang penting kini adalah bukan menuding jari siapa salah atau siapa betul tetapi pengukuhan program pembangunan pemain muda. Saya tidak boleh memperbaiki masalah ini dalam masa dua atau tiga minggu, ia akan mengambil masa bertahun-tahun.ā.
Sebagai rekod, prestasi ditunjukkan Malaysia dalam pertandingan yang menawarkan tiket beraksi di Piala Dunia B-20 kepada empat semifinalis itu mengundang kritikan ramai walaupun benar pasukan ini bertandang ke Indonesia tanpa ekspetasi tinggi.
Mereka sekurang-kurangnya diharapkan dapat memberi tentangan sengit tetapi tampil kurang meyakinkan ketika tewas 1-2 kepada Arab Saudi dalamĀ aksi pembukaan, seri 2-2 menentang Tajikistan sebelum kekalahan kepada China yang sebelum itu telahpun tewas kepada Tajikistan dan Arab Saudi.
Pemain-pemain sandaran utama seperti Akhyar Rashid dan Nik Akif Syahiran Nik Mat juga dilihat tenggelam dan tidak menepati potensi mereka.
Dalam pada itu, dari satu sudut Bojan tetap berbangga dengan skuad B-19 negara kerana berpendapat mereka telah mengecap pencapaian yang mengagumkan sepanjang tahun ini dan mempunyai masa depan yang cerah jika berada dalam landasan yang betul. Ā Ā
āMereka telah menang Kejuaraan AFF buat pertama kali dalam sejarah dan layak secara merit ke Kejuaraan AFC. Momentum ini perlu diteruskan, jika edisi ini kita layak secara merit, pada edisi seterusnya pun perlu layak secara merit. Untuk itu, pemain perlu berterusan didedahkan dengan latihan berintensiti tinggi supaya mereka akan bersedia menghadapi perlawanan peringkat tinggi,ā ujar Bojan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN